Dua ‘Wan’ ini terus serang Azmin, Bersatu makin parah isu video
Oleh FATHI ARIS OMAR
Kenapa Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad suka ungkit isu video Sandakan DS Azmin Ali?
Sejak sidang media Wan Saiful pada 29 September hingga temu bicara Keluar Sekejap beberapa hari lepas, sebab apa isu ini terus diungkit-ungkit?
Khairy Jamaluddin Abu Bakat sendiri hairan apa makna serangan daripada dua hulubalang kem DS Hamzah Zainuddin ini dalam krisis Bersatu.
Tetapi Wan Fayhsal tidak teragak-agak lagi.
Katanya, kes siasatan terhadap Azmin “tergantung” dan mudah jadi ugutan kepada tuan punya badan untuk bocor maklumat parti kepada kerajaan.
Kemudian Khairy tersedar, tohmahan seumpama itu membawa risiko. Beliau ingatkan Wan Fayhsal akan risiko tersebut tetapi diteruskan sedikit. Maka Khairy kemudiannya nampak macam tidak selesa.
Awal-awal dahulu, setahu saya, hanya Wan Saiful yang melontar tuduhan.

Pada 29 September, Malaysiakini lapor: Wan Saiful dedah, dakwa siasatan forensik sahkan video Azmin tulen.
Waktu itu, kedua-dua Wan ini belum mendapat hukuman daripada lembaga disiplin Bersatu.
Selepas digantung sepenggal, Wan Fayhsal dakwa ada “Trojan horse Madani” dalam Bersatu!
Beliau tidak menyebut nama sesiapa dalam temu bicara podcast Zaid Ibrahim.
Kuda Trojan ini pecah-belah Bersatu dan kemudian akan tunjukkan pada DS Anwar Ibrahim, “Bersatu sudah tidak berfungsi angkara pergaduhan.”
Tetapi sewaktu ditekan oleh Khairy, apakah yang dimaksudkan mudah diugut dan bocor maklumat itu orangnya Azmin, beliau tidak berani bertegas.
Beberapa orang, katanya, walau sebelum itu beliau tidak selesa bermesyuarat jika ada Azmin, waktu ketua penerangan dan beliau ketua Armada.
Di sinilah Khairy ingatkan hati-hati, itu tohmahan.
(Ertinya, ada risiko disaman oleh Azmin yang tentunya akan babitkan podcast KS. Satu lagi isu, dituduh tidak adil serang Azmin sebegitu).
Yang menjadi tanda tanya, krisis Bersatu ini makin membengkak atau menuju jalan damai? Macam tiada tanda-tanda akan reda walau PN-Bersatu sedang hadapi pilihan raya Sabah.
Macam tiada usaha berdamai walau TS Muhyiddin Yassin minggu lepas berkata semua pemimpin MPT setuju hentikan kemelut dalaman.
Ada kawan-kawan tanya, apa kesudahannya?
Saya jawab: Semua bekas perdana menteri mahu jadi perdana menteri sekali lagi. Tanyalah pada Tun Dr Mahathir Mohamad atau DS Najib Razak.
Muhyiddin tentu masih berminat. Ertinya, Hamzah tiada peluang. Peralihan itu akan tinggal kata-kata.
Untuk itu juga Azmin akan kekal bersama Muhyiddin sebab Hamzah tidak mahu bersamanya. Sekali lagi, peluang Hamzah akan lebih tipis.
Pendek kata, kem Hamzah tinggal tiga perkataan sahaja: “do or die” atau “make or break”. Kau nampak jalan lain? Aku tidak nampak…
BACA JUGA Bukan hanya lawan dolar AS, ringgit juga kukuh berbanding banyak mata wang dunia