PM ‘sekolahkan’ Takiyuddin isu Pemberian Khas 40 peratus Sabah
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan kekal menghormati dan bersetuju dengan pelaksanaan Pemberian Khas 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah, seperti termaktub dalam Perlembagaan.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar memberitahu beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat semalam berhubung dakwaan kononnya kenyataan Jabatan Peguam Negara mengenai isu tersebut adalah mengelirukan.
Menurut Perdana Menteri, kenyataan Jabatan Peguam Negara itu sebenarnya memperincikan dua perkara utama.
Pertama, katanya, komitmen jelas Kerajaan Persekutuan terhadap Pemberian Khas 40 peratus, dan kedua, langkah kerajaan membetulkan beberapa tuduhan berat yang terkandung dalam Alasan Penghakiman berhubung keputusan mahkamah terdahulu.
“Saya turut persoalkan sama ada YB Kota Bharu sendiri bersetuju dengan tuduhan dalam Alasan Penghakiman tersebut, yang menyifatkan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2021, ketika beliau menjadi Menteri Undang-Undang , sebagai telah bertindak secara ‘illegal’ dan ‘irrational’ dalam isu Pemberian Khas Sabah. Adakah beliau menerima dakwaan ini?” hujahnya.

Anwar menjelaskan, dari sudut perundangan, Kerajaan Persekutuan berhak untuk merayu bagi memadam (expunge) bahagian penghakiman yang menuduh semua kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sejak 1974 melanggar Perlembagaan.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan itu sama sekali tidak menjejaskan keputusan mahkamah yang mengiktiraf hak Sabah terhadap Pemberian Khas 40 peratus yang kekal dihormati dan dipertahankan.
BACA JUGA Pemberian khas untuk Sabah melonjak ke RM600 juta, maruah MA63 dikembalikan