Rombakan Jemaah Menteri: DAP sedia pindah kementerian
DAP bersedia untuk memikul tanggungjawab di kementerian lain sekiranya rombakan Jemaah Menteri dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo yang juga Menteri Digital bagaimanapun enggan mengulas soal rombakan Jemaah Menteri.
“Itu (soal rombakan kabinet) anda perlu bertanya kepada perdana menteri untuk mengulas lanjut kerana ia adalah bidang kuasa beliau. terpulang kepada beliau untuk membuat keputusan.
“Jadi, marilah kita serahkan kepada beliau untuk mengumumkannya sekiranya ada rombakan kabinet.
“Kami sentiasa bersedia. Ia bergantung kepada kebijaksanaan Perdana Menteri. Perdana Menteri yang akan membuat keputusan muktamad dan beliau akan memutuskan apa yang terbaik untuk negara dari segi siapa yang harus mengetuai portfolio mana, tetapi itu adalah sesuatu yang akan diputuskannya sendiri,” kata beliau pada sidang media selepas perasmian Konvensyen Tahunan DAP Wilayah Persekutuan, di sini.
Spekulasi romabakan timbul setelah Menteri Pengajian Tinggi memberi bayangan bahawa ia akan berlaku dalam tempoh dua atau tiga minggu.
Dalam perkembangan lain, Gobind berkata DAP juga bersedia jika PRU16 diadakan lebih awal daripada tarikh tamat penggal.
Menurutnya, parti itu sentiasa fokus untuk memastikan mereka sentiasa mempersiapkan diri dalam menghadapi pilihan raya.
“Pendirian kami sentiasa bersedia sekiranya pilihan raya diadakan. Kami sentiasa bekerja keras di lapangan dan juga dalam kerajaan, dan saya rasa itu penting.
“Kami adalah sebuah parti yang sentiasa fokus pada apa yang perlu dilakukan supaya apabila ada panggilan pilihan raya, kami bersedia untuk itu,” katanya.
Perkara ini turut dibangkitkan oleh Setiausaha DAP kebangsaan Anthony Loke ketika merasmikan Konvensyen DAP Pulau Pinang.
Gobind turut mengulas berhubung pilihan raya Sabah di mana DAP bertanding di lapan kerusi DUN.
“Kita perlu bekerja keras. Kita telah pun menunjukkan bahawa calon-calon kita adalah calon-calon yang bekerja keras untuk rakyat.”
Kekosongan di dalam Jemaah Menteri timbul susulan peletakan jawatan Datuk Ewon Benedick sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri Datuk Tengku Zafrul Aziz pula akan menamatkan tempoh khidmat sebagai Senator pada 2 Dis.
BACA JUGA: PKR tidak kemuka calon ketua menteri Sabah, ini sebabnya