KPKT jawab fitnah hidangan minuman, serah kes kepada MCMC

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular di media sosial kononnya majlis kementerian itu menghidangkan minuman beralkohol menggunakan gelas berkaki pada 8 November lalu.

KPKT menegaskan bahawa minuman “Cucumber Apple Slider” yang disajikan kepada tetamu pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Menteri itu adalah minuman ringan berkarbonat dan tidak mengandungi sebarang unsur alkohol.

“Penyediaan minuman dalam gelas berkaki pula adalah ketetapan lazim katering biasa bagi majlis berprotokol.

“Penyebaran maklumat tidak tepat itu boleh menjejaskan imej kementerian serta reputasi tetamu yang hadir,” menurut KPKT menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Sehubungan itu, laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk siasatan lanjut.

Dalam masa sama, KPKT menasihatkan kepada orang ramai supaya merujuk kepada pihaknya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang andaian atau menyebarkan spekulasi tidak berasas.

Tambahnya, KPKT kekal komited memastikan setiap penganjuran majlis mematuhi garis panduan, nilai integriti dan sensitiviti masyarakat.

BACA JUGA Kedah tuntut Pulau Pinang bagaikan siram benih yang dah lama kering