Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu dituduh pilih bulu, membuat pendakwaan terpilih
Ketua Bersekutu Bersatu Bangi K Vasantha Kumar mendakwa bahawa pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu Datuk Mohd Radzi Manan mengambil pendekatan pilih bulu dan menjalankan pendakwaan terpilih ke atas anggota parti.
“Dalam notis keputusan aduan terhadap ketua Bersatu Pendang Abdul Razak Khamis, Radzi mendakwa Lembaga Disiplin memandang serius setiap aduan disiplin yang diterima.
“Apa jadi pada aduan terhadap Datuk Goh Gaik Meng dan R Sanjeevan?
“Ini membuktikan Lembaga Disiplin pimpinan Radzi pilih bulu dan melaksanakan pendakwaan terpilih untuk menjaga disiplin parti,” kata Vasantha Kumar.
Goh ialah ketua Bersekutu Bersatu Selangor manakala Sanjeevan ialah naib ketua Bersekutu Bersatu.
Aduan telah dibuat terhadap Goh dan Sanjeevan oleh sebilangan anggota Bersekutu yang mendakwa mereka berdua telah mengganggu perjalanan mesyuarat Bersekutu semasa mesyuarat agung tahunan.
Dalam perkembangan berkaitan Lembaga Disiplin telah melepaskan Abdul Razak yang juga adalah timbalan yang dipertua dewan undangan negeri Kedah daripada berdepan tindakan disiplin selepas membuat teguran secara keras terhadap ketua penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz.
BACA JUGA: ‘Jawapan Radzi Manan jatuhkan kredibiliti pejabat pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu’