Calon PH Tanjung Aru gerakkan kesedaran minyak masak terpakai untuk pendapatan rakyat

OLEH A. ZAHID

Satu program kesedaran mengenai minyak masak terpakai atau UCO yang berlangsung di Dewan Komuniti Kampung Torong Logong baru-baru ini memberi nafas baharu kepada usaha kitar semula di Pulau Gaya.

Calon Pakatan Harapan Tanjung Aru, Datuk Chan Foong Hin, menyifatkan program ini bukan sekadar sesi taklimat tetapi langkah awal membina budaya kelestarian dalam komuniti pulau.

Chan menjelaskan bahawa ramai penduduk masih melihat minyak masak terpakai sebagai sisa dapur, sedangkan nilainya jauh lebih besar.

UCO boleh dijual pada harga antara RM2 hingga RM2.50 sekilogram dan menjadi bahan asas kepada penghasilan bahan api penerbangan mampan atau SAF yang semakin mendapat permintaan global.

“UCO bukan sisa biasa. Ia mampu menjana pendapatan tambahan sambil mengurangkan pelepasan karbon selari dengan sasaran sifar bersih negara,” katanya.

Usaha pengumpulan UCO digerakkan melalui kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Petronas Dagangan dengan sekolah serta stesen minyak dijadikan pusat pengumpulan utama.

Bermula dengan tiga pusat rintis pada tahun 2023, kini terdapat 89 pusat di seluruh negara termasuk tujuh di Sabah.

Bagi Chan, kehadiran inisiatif ini di Pulau Gaya membuktikan potensi besar penduduk untuk menyumbang kepada agenda kitar semula nasional.

Walau bagaimanapun, tahap kutipan UCO di Sabah masih rendah. Hanya 5,200 tan berjaya dikumpul sepanjang 2024 iaitu sekitar 1.5 peratus daripada jumlah nasional.

Chan menggesa lebih banyak isi rumah di Sabah terbabit dalam usaha ini kerana manfaatnya meliputi kesejahteraan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Chan turut menggariskan beberapa fokus pembangunan Pulau Gaya sekiranya beliau dipilih menjadi wakil rakyat.

Antaranya pengangkutan bot percuma untuk murid SK dan SMK Pulau Gaya agar perjalanan ke sekolah lebih mudah dan selamat.

Kerajaan juga telah meluluskan RM260 juta untuk memindahkan kedua-dua sekolah tersebut ke tanah besar bagi membina kompleks pendidikan baharu yang lebih stabil berbanding struktur atas air yang sering terjejas ribut.

Beliau menyentuh cabaran bekalan air di pulau dan mencadangkan pendekatan yang pernah digunakan di Pulau Berhala bagi memastikan akses yang lebih konsisten.

Selain itu sebuah menara telekomunikasi 5G setinggi 30 meter akan dibina di Kampung Kesuapan selepas isu liputan dibawa kepada Timbalan Menteri Komunikasi.

Chan menekankan bahawa pengalaman beliau sebagai bekas timbalan menteri persekutuan dan ADUN Sri Tanjong memberi kelebihan dalam menangani isu infrastruktur setempat.

Beliau berharap tabiat mengumpul UCO dapat berkembang menjadi norma baharu yang menyokong sektor agrikomoditi negara secara mampan.

BACA JUGA Perjanjian ART ‘ikat’ Malaysia tidak benar, Anwar jawab kenapa dakwaan gadai negara tidak berasas