Malaysia giat melabur dalam teknologi rendah karbon

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia sedang gigih melabur dalam teknologi yang mengurangkan jejak karbon dan dampaknya.

Jelas beliau, ia mencakupi daripada Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS)hingga kepada rangkaian tenaga serantau.

Menurutnya, pelaburan dalam teknologi itu merupakan jalan sebenar untuk memastikan peralihan tenaga tidak hanya tinggal slogan semata-mata tetapi mesti menjadi jalur yang dapat ditempuh oleh rakyat terbanyak tanpa menanggung beban yang memeritkan.

Menerusi catatan di media sosial rasminya, Perdana Menteri memaklumkan kehadirannya di pentas G20 di Johannesburg mengingatkan bahawa dunia sedang bergerak pantas sambil berhadapan “badai rempuhan tantangan dan juga harapan”.

Menurutnya, ketika semua negara membincangkan masa depan iklim, keselamatan makanan dan peralihan tenaga, beliau menekankan bahawa rantau ini yang lama dirundung risiko bencana dan tekanan akibat perubahan iklim mesti diberikan perhatian dan menjadi sebahagian daripada agenda global.

Anwar berkata, pengalaman ASEAN membuktikan bahawa daya tahan tidak hanya dibina ketika krisis berlaku, sebaliknya memerlukan pelaburan dan pendanaan awal, termasuk pembangunan sistem amaran awal serta kerjasama rentas sempadan berteraskan kemanusiaan.

Dalam perbincangan tingkat tinggi itu, beliau turut menggariskan hakikat bahawa permintaan tenaga dunia masih tidak seiring dengan kemampuan teknologi bersih untuk mencapai sasaran yang diharapkan.

Beliau menambah bahawa pembangunan tidak akan bermakna sekiranya manusia diketepikan.

Justeru, jelasnya, dunia memerlukan sistem kewangan iklim yang lebih adil, sokongan terhadap nasib petani kecil, serta rangka kerja global yang tidak terus meminggirkan negara membangun.

Anwar menegaskan komitmen Malaysia untuk membina kerjasama di peringkat global dan serantau dalam memastikan ketahanan, keadilan dan kesejahteraan menjadi realiti kepada jutaan manusia yang menggantungkan harapan terhadap apa yang diputuskan di Johannesburg.

BACA JUGA Mengapa PM Anwar pilih Ethiopia?