Senyar menuju ke Selat Melaka, MetMalaysia keluar amaran hujan lebat berterusan

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan ribut Tropika (Senyar) dikesan pada kedudukan 3.6°U 99.9°T di utara Sumatera dan 102 kilometer (km) ke barat daya Lumut, Perak.

Ribut tersebut kini sedang bergerak ke arah timur tenggara memasuki perairan Selat Melaka menuju ke barat Semenanjung dengan kelajuan sekitar 24 km/j.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, keadaan tersebut berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang serta laut bergelora di Semenanjung Malaysia, khususnya negeri-negeri barat dan tengah Semenanjung mulai hari ini.

Sehubungan itu, MetMalaysia telah mengemas kini Amaran Ribut Tropika, Amaran Hujan Berterusan serta Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor berkuat kuasa dari hari ini hingga Sabtu, 29 November.

“MetMalaysia akan terus memantau perkembangan ribut tropika ini dan mengemas kini maklumat berdasarkan keadaan semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengikuti maklumat, ramalan serta amaran cuaca terkini melalui laman web MET Malaysia, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi dan talian hotline 1-300-22-1638.

BACA JUGA Tok Mat minta maaf…