Ulama Kelantan puji kerajaan Madani anjurkan Sama’ Hadis, negara Arab pun tak buat
Ulama terkenal dari Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah memuji kesungguhan kerajaan MADANI memartabatkan majlis ilmu sehingga Malaysia muncul sebagai perintis dunia Islam dalam penganjuran Sama’ Hadis secara rasmi.
Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan itu berkata, tidak ada satu pun negara Islam lain termasuk di tanah Arab yang menganjurkan majlis sama’ hadis sebagai agenda rasmi kerajaan.

“Tidak ada dalam mana-mana negara Islam, negara Arab, kerajaan sendiri menganjurkan sama’ hadith ini…insha-Allah sama’ hadith akan diteruskan sebagai agenda rasmi kerajaan.
“Di Mekah tak ada (sama’ hadith), di Iraq tak ada, di Syria pun tak ada, anjuran rasmi kerajaan dengan peruntukan sekian, sekian…tak ada,” katanya sempena Majlis Khatam Sama’ Hadis Sahih Muslim Antarabangsa 2025 di Putrajaya semalam, dipetik Mohamed Hadi.
Syeikh Wazir Che Awang menegaskan bahawa Malaysia berada dalam kedudukan yang sangat bertuah kerana majlis sama’ hadis kini diangkat sebagai agenda rasmi tahunan kerajaan, lengkap dengan peruntukan tetap melalui belanjawan negara.
Tanpa halangan
Jelasnya, apabila belanjawan tersebut diluluskan di Parlimen tanpa sebarang halangan atau bantahan, ia membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan keseluruhan sunan sittah dapat disempurnakan hingga ke penghujungnya.
“Majlis sama’ hadith akan diteruskan tahun depan untuk melengkapkan sunan sittah, tahun depan Sunan Tirmizi dan Sunan Abi Daud… hingga terkenal negara kita Malaysia di bawah kerajaan Madani sebagai pusat penyebaran hadith Nabi SAW.

“Jangan cemburulah ana sebut kerajaan Madani…jadi isu pulak..dah nama dia…jangan kita bertengkar sesama sendiri hanya kerana nama kerajaan Madani…kemungkinan kalau ambo jadi Perdana Menteri esok, ambo bubuh nama kerajaan Makki sebab ambo ni orang panggil Syeikh Wazir Al-Makki,” ujarnya.
Menegaskan prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah mengenai ketaatan kepada pemerintah yang sah, Syeikh Wazir menyatakan bahawa mana-mana kerajaan yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong wajib diakui sebagai pemerintah negara.
“Kerajaan mana saja yang dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong, mesti kita sokong, beri dukungan.
“Puasa siapa isytihar? Yang di-Pertuan Agong. Raya, raya haji, raya fitrah — siapa isytihar? Yang di-Pertuan Agong. Jadi, kerajaan yang dilantik baginda, itulah kerajaan kita,” nasihatnya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan umat Islam agar tidak terperangkap dalam pemikiran sempit sehingga menolak kerajaan yang sah hanya kerana perbezaan politik kepartian.
Kekuatan ummah, tegasnya, tidak terletak pada slogan politik, sebaliknya pada ilmu dan kesatuan.
“Yang penting umat kita ini berilmu — fekah, tafsir, hadis. Dan kedua, kita umat Nabi Muhammad SAW kena bersatu di Malaysia,” kata Syeikh Wazir lagi.
Majlis Khatam Sama’ Hadis Sahih Muslim Antarabangsa 2025 di Masjid Putra, Putrajaya semalam menyaksikan kehadiran ramai ulama terkemuka dari seluruh dunia.
Majlis tersebut diserikan dengan syarahan perdana para ulama, termasuk Mufti Besar India, Al-Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad Al-Malibari, serta masyaikh dari Yaman, Mesir, Bahrain, Tunisia, Indonesia dan Malaysia.
Perdana Menteri menyifatkan majlis yang menjadi medan perhimpunan ilmu itu mampu mengukuhkan sinergi antara ulama dan umara.
BACA JUGA PM Anwar pertegas sinergi ulama dan umara diperkukuh