PH, GRS cukup jumlah bentuk kerajaan malam ini

Pakatan Harapan (PH) yakin mampu membentuk kerajaan negeri bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), umum Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh.

“Insya-Allah, saya dimaklumkan kita cukup jumlah untuk membentuk kerajaan negeri pada malam ini.

“PH berbesar hati kerana kita menjadi sebahagian daripada kerajaan yang akan dibentuk di Sabah malam ini,” katanya.

Fuziah berkata demikian dalam satu sidang media khas di Hotel Pacific Sutera, Kota Kinabalu, malam ini.

Dalam masa sama, beliau turut berkata pihaknya menerima dan menghormati keputusan pengundi Sabah dengan hati terbuka.

“Selaku Setiausaha Agung PKR, saya mewakili rakan-rakan dalam PH ingin menyatakan begitu juga bahawa kami terima keputusan yang telah diberikan oleh pengundi di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana PH bertanding.

“Segala kelemahan ini akan kita lihat dan segala kekuatan juga akan kita lihat. Tentu sekali ada banyak pengajaran yang boleh kita pelajari daripada proses ini,” ujar Fuziah lagi.

Turut hadir dalam sdang media PH adalah Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu dan Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud.

Pada masa ini, dua calon PH dari PKR masing-masing berjaya mendahului kerusi DUN Sindumin dan Melalap dalam keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).

Dalam pertandingan 10 penjuru di Sindumin, Datuk Yamani Hafez Musa, yang juga anak kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, mendahului undi.

Di Melalap, Datuk Jamawi Jaafar menewaskan tujuh lagi pesaingnya.

Setakat 10.05 malam, keputusan tidak rasmi menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sedang mendahului apabila berjaya memenangi 29 kerusi DUN.

Sementara itu, Parti Warisan memenangi 18 kerusi manakala Barisan Nasional (BN) memperoleh sembilan kerusi.

Selain PH, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) turut meraih dua kerusi manakala Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing satu.

Calon Bebas pula menang di lima kerusi, termasuk DUN Pintasan, Badau, Tulid, Petagas dan Kukusan.

Sabah mempunyai sebanyak 73 kerusi DUN dan untuk membentuk kerajaan negeri, majoriti mudah yang diperlukan ialah 37 kerusi.

BACA JUGA PM Anwar pertegas sinergi ulama dan umara diperkukuh