PRN Sabah: 60.94 peratus keluar mengundi

Sebanyak 60.94 peratus atau 1.06 juta orang keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 setakat 4 petang tadi, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Semua 882 pusat mengundi dan 3,559 saluran mengundi ditutup sepenuhnya 5.30 petang ini selepas dibuka seawal jam 7.30 pagi.

SPR sebelum ini menyasarkan peratusan keluar mengundi yang melibatkan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu mencapai angka 70 peratus.

Seramai 1.78 juta pengundi layak menentukan wakil mereka dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah untuk tempoh lima tahun akan datang.

Daripada jumlah itu, 53.9 peratus atau 960,099 pengundi muda berusia antara 18 dan 39 tahun sekaligus merupakan kelompok terbesar yang mencorakkan landskap politik Sabah.

PRN Sabah kali ini menyaksikan pertandingan seramai 596 calon daripada 22 parti politik dan 74 calon Bebas.

BACA JUGA PM Anwar pertegas sinergi ulama dan umara diperkukuh