Kekalahan di Sulabayan, satu wake up call
Oleh FAIZ FADZIL
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat semua jentera AMANAH dari seluruh negara yang berkampung di DUN Sulabayan dalam PRN ini yang telah bertungkus-lumus berjuang untuk parti ini melahirkan kerusi sulung di Sabah.
Walaupun kita gagal, usahlah berputus asa kerana perjuangan menegakkan Islam tetap berada di landasan kebenaran.
Kita sedang menuju kemenangan selagi perjuangan kita berada di landasan yang benar.
Namun, kita tidak harus berputus-asa dan perlu merasakan bahawa undi 1,405 yang diperolehi adalah satu jumlah yang menyakinkan kerana ia adalah kerusi baharu bagi AMANAH.
Saya yakin kerja keras pimpinan dan jentera parti di peringkat negeri dan kawasan (Semporna) untuk tempoh 5 tahun akan datang pasti mampu melonjakkan sokongan pengundi Dun Sulabayan bagi membolehkan AMANAH meletakkan tapak awal pengaruh parti ini di Sabah.
Kegagalan AMANAH untuk menghasilkan kemenangan sulung ini perlulah dijadikan wake up call kepada pimpinan dan ahli parti.
Kegagalan ini menunjukkan bahawa kita semua mempunyai banyak lagi tugas yang perlu dilipatgandakan untuk kita mencapai kemenangan dalam PRN Melaka, Johor dan Sarawak tahun hadapan dan PRU-16 yang boleh diadakan bila-bila masa tahun hadapan juga.
Parti perlu memberikan tumpuan kepada pengukuhan jentera di peringkat akar umbi. Ini antara faktor kekalahan kita di Sulabayan.
Pengenalan calon lebih awal juga penting dan ini yang gagal dilakukan oleh parti kerana diberikan kouta kerusi ini lewat.
Oleh itu, ke hadapan, strategi lebih berkesan perlu diatur dengan kerja awal calon di kawasan bertanding supaya pengundi benar-benar yakin dengan kemampuan parti kita untuk menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.
Adapun kekalahan yang sama turut dikongsi rakan-rakan setia kita PKR dan DAP adalah sesuatu yang harus dibimbangi dan dikaji secara mendalam punca penolakan pengundi Sabah dalam PRN ini.
Walaupun kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meletakkan beberapa dasar dan polisi ekonomi yang merakyat, namun ia tidak banyak membantu PH dan ini mungkin disebabkan kelemahan komunikasi yang perlu dimantapkan.
Keputusan pilihanraya adalah indikasi prestasi pengaruh parti politik. Justeru, saya menyeru semua pimpinan dan ahli parti untuk membina semangat baru dan terus memulakan langkah awal mengukuhkan jentera parti menuju pilihan raya-pilihan raya yang bakal berlangsung.
Isu-isu dalaman parti termasuk pemilihan walaupun penting, namun persediaan menuju pilihanraya adalah lebih awla.
Perlu diingat bahawa sebarang keputusan yang diambil AMANAH dibuat secara kolektif melalui mesyuarat yang menjadi amalan sejak awal penubuhan parti.
*FAIZ FADZIL ialah Setiausaha Agung AMANAH.
BACA JUGA PRN Sabah: Jangan dibandingkan prestasi AMANAH dengan Pas