MP PN nafi salah laku kes projek lembu
Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan pertuduhan bersubahat menerima suapan RM400,000 yang dikenakan terhadapnya di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.
Menurut wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu, pertuduhan di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 itu tidak membuktikan bahawa beliau ada menerima atau meminta sebarang wang.
Azman berkata, butiran pertuduhan hanya menyatakan tuduhan bersubahat tanpa disertakan sebarang bukti yang boleh mengaitkan dirinya dengan perbuatan rasuah.
“Pertuduhan yang dikenakan terhadap saya tidak membuktikan saya menerima atau meminta wang, dan saya hanya dituduh bersubahat.. mengarahkan, tanpa apa-apa bukti yang mengaitkan saya.
“Barisan peguam saya akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan pertuduhan ini dan kami akan lawan kes ini sepenuhnya,” katanya, dipetik BH.
Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata demikian pada sidang media selepas proses jaminan selesai kira-kira jam 2.30 petang tadi.
Pada 5 Disember lalu, Azman menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di media sosialnya mengesahkan beliau ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes projek usahasama ternakan lembu kerajaan negeri Kedah.
Bagaimanapun, bekas ahli PKR itu mempersoalkan tindakan menukar statusnya daripada saksi kepada tertuduh.
Jelasnya, beliau sebelum ini hadir ke pejabat SPRM Kedah pada 25 Mac lalu sebagai saksi bagi membantu siasatan projek fidlot di bawah Kedah Agro.
Namun, dakwanya, menerima arahan mengejut pada pagi 4 Disember lalu untuk bertemu pegawai penyiasat di R&R Sungai Buloh arah utara.
“Setibanya di lokasi, saya dimaklumkan bukan lagi dipanggil untuk memberi keterangan, sebaliknya akan didakwa di mahkamah.
“Pertukaran status ini terlalu drastik. Saya percaya ada unsur tekanan politik untuk menjatuhkan imej saya sebagai wakil rakyat PN,” dakwa Azman lagi.
BACA JUGA Pas pakai KTN dalam isu Felda, lain pula dalam tuntutan royalti