Pelan Tindakan Food Bank 2026-2030 bakal dilancarkan
Pelan Tindakan Food Bank 2026-2030 dijangka siap dan akan dilancarkan pada awal tahun depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata sudah tiba masanya satu transformasi dilaksanakan selepas enam enam tahun program Food Bank diselia di bawah sekretariat kementerian.
“Kita mahu program Food Bank Malaysia menjadi pelengkap dan sokongan kepada ekosistem jaringan keselamatan yang ada di Malaysia.
“Melangkah ke hadapan bermula 2026, kita perlu melaksanakan transformasi dengan mengambil kira amalan terbaik dan pengalaman pelbagai pemegang taruh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Food Bank 2025 di Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC) di Bangi, hari ini.
Armizan berkata, pelan tindakan itu akan memberi tumpuan kepada dua komponen utama iaitu kemampanan dan sekuriti makanan serta bagaimana ia berperanan dalam membantu kos sara hidup rakyat.
Jelasnya, pelan tersebut juga akan menggunakan pendekatan ‘Whole of Nation’ bagi mengatasi jurang operasi sedia ada.
“Ini termasuk memastikan bantuan sampai ke kawasan atau negeri tertentu yang mungkin belum disantuni sepenuhnya oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergerak secara bersendirian sebelum ini,” katanya.
Susulan itu, beliau berkata, dapatan daripada Konvensyen Food Bank 2025 yang julung kali dianjurkan KPDN itu, akan dijadikan asas untuk mewujudkan pelan yang holistik dan komprehensif itu.
“KPDN juga akan menganjurkan pelbagai sesi libat urus bagi mendapatkan input dan maklum balas sebelum memuktamadkan penyediaan pelan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, ketika berucap, Armizan berkata, bermula 2019 hingga 31 Oktober lalu, program Food Bank yang diselia melalui Sekretariat Food Bank Malaysia KPDN bersama rakan strategik berjaya membabitkan 1,164,932 ketua isi rumah dan 51,200 pelajar.
Katanya, ia termasuk melalui inisiatif Program Food Bank Komuniti dan Food Bank Siswa.
“Program ini juga membabitkan komponen penyelamatan makanan dengan sejumlah 6,511 tan lebihan makanan,” kata beliau lagi.
BACA JUGA Pas pakai KTN dalam isu Felda, lain pula dalam tuntutan royalti