Malaysia berjaya pulihkan aset negara hampir RM37.3 bilion

Malaysia meraih kejayaan luar biasa dalam usaha membanteras jenayah kewangan apabila berjaya memulihkan aset bernilai kira-kira euro 8 bilion (RM37.63 bilion) dari tahun 2019 hingga 2025.

Laporan Penilaian Bersama FATF-APG 2025 yang diterbitkan hari ini menyatakan angka itu merupakan satu lonjakan besar berbanding tempoh penilaian terdahulu pada 2015.

Jelasnya, pihak berkuasa Malaysia kini dilihat meletakkan penekanan yang sangat serius terhadap aspek pemulihan aset sebagai strategi utama melumpuhkan rangkaian jenayah.

“Antara tahun 2019 hingga Februari 2025, Malaysia telah memulihkan aset berjumlah euro 8.11 bilion (RM38.93 bilion), dengan euro 6.08 bilion (RM29.18 bilion) daripadanya berkaitan kes 1MDB.

“Sebahagian besar aset berkaitan 1MDB ini dipulangkan melalui tindakan pelucutan sivil dan penyelesaian (settlements) di luar negara,” menurut laporan berkenaan.

Mekanisme cukai

Namun begitu, katanya, pemulihan aset selebihnya yang tidak berkaitan dengan 1MDB, iaitu euro 2.03 bilion (RM9.74 bilion), menimbulkan kebimbangan kerana kebanyakannya diperoleh melalui mekanisme cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), menunjukkan kebergantungan yang tinggi terhadap kaedah pemulihan pentadbiran berbanding pelucuthakan jenayah.

FATF-APG merujuk kepada dua badan antarabangsa yang bekerja rapat dalam memerangi pengubahan wang haram (money laundering), pembiayaan keganasan (terrorism financing) dan pembiayaan proliferasi senjata pemusnah besar-besaran

Pasukan Petugas Kewangan (FATF) ialah sebuah badan antara kerajaan yang bebas, yang membangunkan dan mempromosikan dasar untuk melindungi sistem kewangan global daripada kegiatan pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan, serta pembiayaan proliferasi senjata pemusnah besar-besaran.

Berdasarkan laporan itu, dari sudut pelucuthakan jenayah, Malaysia lebih banyak bergantung pada pelucuthakan tanpa sabitan (NCBF) berbanding pelucuthakan berdasarkan sabitan (CBF).

Walaupun Metodologi FATF tidak memihak kepada mana-mana bentuk pelucuthakan, katanya, penggunaan CBF yang rendah menggambarkan cabaran yang lebih luas dalam mendakwa dan memperoleh sabitan bagi kesalahan pengubahan wang haram (ML).

“Selain itu, walaupun keputusan paling ketara dicapai dalam kes rasuah dan penipuan, hasil pelucuthakan bagi kes penyeludupan dadah, jenayah terancang dan penyeludupan tidak sepadan dengan profil risiko Malaysia, khususnya memandangkan sifatnya yang rentas negara serta statusnya sebagai ancaman berisiko tinggi dalam penilaian risiko kebangsaan (NRA).

“Di luar kes 1MDB, Malaysia masih terhad dalam menggunakan mekanisme pemulihan aset yang berkaitan kesalahan asal (predicate offences) luar negara atau aset yang berada di luar negara,” ujarnya.

Secara keseluruhannya, menurut laporan itu, walaupun usaha pemulihan aset 1MDB adalah signifikan, usaha pemulihan aset lain masih belum selaras sepenuhnya dengan pendedahan risiko negara, khususnya bagi kesalahan asal berisiko tinggi dan sederhana tinggi.

Dalam masa sama, FATF turut memuji keupayaan pasukan penyiasat Malaysia yang kini mempunyai kepakaran khusus untuk menjejak dan membekukan aset merentas sempadan.

“Keupayaan ini disokong oleh penggunaan teknologi data terkini yang membolehkan pihak berkuasa mengesan pergerakan wang haram dengan lebih pantas.

“Peningkatan ketara dalam jumlah aset yang dipulihkan ini juga didorong oleh lonjakan aktiviti siasatan jenayah kewangan. Sejak tahun 2015, jumlah siasatan kes pengubahan wang haram di negara ini telah meningkat kira-kira tiga kali ganda, mencerminkan pendekatan yang lebih agresif oleh pihak berkuasa,” katanya.

Meskipun kejayaan itu amat membanggakan, laporan FATF turut menyarankan supaya Malaysia mempelbagaikan kaedah pemulihan aset bagi kes-kes lain selain 1MDB.

“Ini bagi memastikan usaha pemulihan aset adalah selari dengan profil risiko jenayah lain seperti penyeludupan dan jenayah terancang.

“Laporan ini turut menyentuh bahawa penumpuan sumber kepada kes berprofil tinggi seperti 1MDB adalah langkah kritikal yang berjaya memulihkan keyakinan awam.

“Namun, ia juga memberi kesan kepada kapasiti agensi penguat kuasa untuk mengejar kes-kes pengubahan wang haram yang lain pada masa yang sama. Dari sudut positif, Malaysia kini dilihat lebih bersedia dengan kerangka undang-undang yang lebih kukuh untuk melaksanakan perlucuthakan harta jenayah.

“Ini termasuk penggunaan Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) yang lebih berkesan,” menurut laporan itu lagi.

BACA JUGA KL dijangka terima lebih banyak hujan, ini senarai 15 kawasan berisiko banjir