Anwar umum ASEAN akan adakan Mesyuarat Khas, pertegas komitmen keamanan serantau

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Malaysia akan memanggil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN dalam masa terdekat bagi menilai perkembangan semasa di rantau ini serta merangka langkah meredakan ketegangan serantau.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Vietnam, Phạm Minh Chính, yang menyentuh soal keamanan, kestabilan dan kerjasama serantau.

Sebagai Pengerusi ASEAN, Anwar menegaskan bahawa Malaysia komited mengukuhkan peranan kolektif blok itu dalam memastikan keamanan dan kestabilan terus terpelihara, terutama ketika rantau ini berdepan cabaran geopolitik yang semakin kompleks.

Dalam perbualan telefon dengan Phạm Minh Chính, Anwar turut menekankan komitmen Malaysia memperkukuh kerjasama dua hala dengan Vietnam, khususnya dalam menangani isu penangkapan ikan secara tidak sah, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU).

Beliau berkata, kerjasama tersebut akan melibatkan penyelarasan penguatkuasaan, perkongsian maklumat serta langkah-langkah pencegahan yang lebih berkesan.

“Saya yakin bahawa melalui dialog berterusan dan mekanisme sedia ada, isu ini dapat diselesaikan secara berhemah, tenang dan saling menghormati,” kata Perdana Menteri lagi.

Untuk rekod, siri pertempuran terkini di sepanjang sempadan Kemboja dan Thailand kembali meletus sejak minggu lalu dengan sekurang-kurangnya 20 maut.

Kira-kira 600,000 orang, kebanyakannya di Thailand, melarikan diri dari kawasan sempadan berhampiran lokasi pesawat, kereta kebal dan dron terbabit dalam pertempuran.

Krisis Thailand dan Kemboja itu berpunca akibat sempadan era kolonial sepanjang 800 kilometer dengan kedua-dua pihak menuntut beberapa kuil bersejarah.

Pertempuran minggu ini adalah yang paling teruk sejak lima hari pertempuran pada Julai lalu, yang meragut puluhan nyawa sebelum gencatan senjata dipersetujui susulan campur tangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

BACA JUGA Kes pembatalan lesen loteri di Kedah: Ini dia keputusan Mahkamah Rayuan