Prestasi jualan runcit kukuh, permintaan domestik terus jadi tunggak ekonomi

Jualan runcit Malaysia mencatat prestasi kukuh pada suku ketiga 2025 dengan pertumbuhan 4.9 peratus, hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding unjuran awal industri sekitar 2.6 peratus, menurut Malaysia Retail Industry Report.

Penganalisis, Nazri Hamdan berkata, bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, jualan runcit terkumpul berkembang 2.7 peratus tahun ke tahun.

Ia menandakan perbelanjaan domestik kekal stabil biarpun pengguna berhadapan kenaikan harga barangan keperluan dan barangan budi bicara.

Menurutnya, prestasi kukuh tersebut didorong gabungan dasar fiskal dan monetari kerajaan.

Beliau berkata, penurunan OPR daripada 3.00 peratus kepada 2.75 peratus pada Julai telah meringankan kos pinjaman.

Sementara itu, bantuan one-off RM100 melalui inisiatif SARA serta harga RON95 yang diturunkan kepada RM1.99 seliter untuk lebih 16 juta rakyat terus menyokong kuasa beli isi rumah.

Dalam masa yang sama, inflasi kekal rendah pada kadar 1.3 peratus bagi suku ketiga tahun ini membolehkan rangsangan kerajaan mengalir lebih efektif ke sektor ekonomi sebenar tanpa tekanan harga berlebihan.

Persatuan peruncit menjangkakan momentum positif ini akan berterusan pada suku keempat 2025, dengan unjuran pertumbuhan sekitar lima peratus.

Pasar mini dan kedai serbaneka dijangka menerajui dengan peningkatan 13.3 peratus, diikuti sektor fesyen yang diramal berkembang 9.2 peratus, manakala department store dan pasar raya mencatat pertumbuhan sekitar 4.8 peratus.

Segmen pasar raya besar pula dijangka terus menyusut 2.7 peratus, namun keseluruhan gambaran industri kekal positif dan selaras dengan pertumbuhan ekonomi negara yang mencecah 5.2 peratus sepanjang tempoh Julai, Ogos dan September lalu.

Sehubungan itu, Nazri menegaskan bahawa data terbaharu tersebut membuktikan permintaan domestik kekal menjadi tunggak utama pertumbuhan ekonomi Malaysia, khususnya ketika ekonomi global masih berdepan ketidaktentuan.

BACA JUGA Kes pembatalan lesen loteri di Kedah: Ini dia keputusan Mahkamah Rayuan