Steven berat hati nak ‘pergi’ tapi sedia galas tanggungjawab besar
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim mengakui “berat hati pula nak pergi” meninggalkan kementerian yang dipimpinnya sebelum ini.
Luahan itu dizahirkan menerusi serangkap pantun yang dikongsikan beliau di Facebook selepas diumumkan oleh Perdana Menteri sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
“Berat padi berapa gantang,
Sukat kati jangan nak rugi;
Berat hati pabila datang,
Berat hati pula nak pergi.
“Perjuangan pekerja belum selesai. Namun, saya kini diberi peluang untuk memimpin sebuah kementerian baharu yang penting dalam merancakkan ekonomi negara,” kata beliau.
Pemimpin DAP berkenaan menyifatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan koperasi adalah pemacu utama ekonomi negara.
Sehubungan itu, beliau menyedari tanggungjawab besar apabila dilantik memegang portfolio baharu tersebut untuk meningkatkan potensi maksimum pertumbuhan ekonomi negara serta meninggikan tahap minimum kesejahteraan rakyat.
“Ekonomi yang maju akan memberi kemakmuran kepada pekerja dan rakyat Malaysia.
“Justeru, ini tanggungjawab besar untuk menyambung perjuangan Kerangka Ekonomi Madani bagi menaikkan siling dan menaikkan lantai sosioekonomi negara,” kata beliau.
Dalam masa sama, Sim bersyukur atas kepercayaan yang diberikan kerajaan MADANI untuk memimpin Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sebelum ini.
“Dalam tempoh dua tahun ini, saya telah mencurahkan segala kudrat saya untuk menjalankan amanah yang dipikul.
“Saya yakin Menteri dan Timbalan Menteri KESUMA yang baru, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan dan YB Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan akan memimpin KESUMA ke peringkat yang lebih baik.
“Terima kasih kepada YAB PMX atas keyakinan ke atas diri saya,” ujarnya sambil turut berterima kasih kepada seluruh warga KESUMA atas segala kerjasama, tunjuk ajar dan usaha yang telah dihulurkan.
“Saya akan menghargainya sampai bila-bila. Penjawat awam benteng negara!” kata Sim lagi.
BACA JUGA Ringgit kekal di paras terkuat, ada kesan positif dari rombakan Kabinet?