Islam sedang memerintah tapi Presiden Pas sukar untuk akui

Oleh JAMZURI ARDANI

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sekali lagi mengulangi tajuk yang sudah 40 tahun beliau sering ulang sebut iaitu ‘Islam tidak boleh dipisahkan dari politik’.

Pada saya, isu ini telah selesai lama. Malah, Perlembagaan Persekutuan sendiri telah meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Perlembagaan juga meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama di peringkat Persekutuan dan Sultan sebagai Ketua Agama di peringkat negeri.

Perlembagaan juga memperakui kuasa dan wibawa Mahkamah Syariah serta pelbagai institusi agama yang diwujudkan oleh kerajaan sejak merdeka sehingga hari ini.

Semua ini tidak berlaku jika Islam dipisahkan dari pentadbiran dan politik negara.

Hakikatnya, Islam sedang memerintah di negara kita. Hakikat inilah yang Presiden Pas sukar untuk terima dan akui.

Barangkali bagi beliau Malaysia perlu jadi negara teokrasi barulah memenuhi kehendak Islam yang beliau faham.

Ataupun Malaysia perlu kembali seperti pemerintahan Dinasti Umayyah, atau Abbasiyyah, atau Uthmaniyyah barulah memenuhi citarasa agama yang beliau mahukan.

Urusan muamalat

Jika itu yang beliau bayangkan, idea tersebut pastinya tidak dapat diterima bukan sahaja oleh penduduk Malaysia, tetapi juga masyarakat antarabangsa.

Islam memang tidak terpisah dari politik. Tetapi politik itu sendiri adalah termasuk dalam urusan muamalat dalam beragama.

Seperti yang pernah disebut oleh Ibn Qayyum, “siyasah syariah itu ialah apa sahaja perkara yang membawa kebaikan kepada manusia walaupun tiada padanya sandaran nas”.

Abdul Hadi Awang

Politik pada zaman Nabi Muhammad SAW tidak sama dengan politik pada zaman Khulafa’ Ar Rashidin, tidak sama dengan politik pada zaman Umayyah, Abbasiyyah, Uthmaniyyah dan seterusnya.

Politik adalah luas dan rencam. Ia melibatkan banyak urusan ijtihadi yang memerlukan keluasan ilmu yang pelbagai.

Kesilapan besar pemikiran politik Presiden Pas ialah beliau cenderung menjadikan politik sebagai perkara aqidah dalam beragama.

Oleh sebab itu, muncul kata-kata seperti “perlembagaan kafir”, “undang-undang kafir”, “negara perlu mengucap shahadah”, “kerajaan taghut” dan seumpamanya.

Pemikiran ini kemudian membawa pengikutnya ke arah pemikiran beragama yang eksklusif. Hanya kelompoknya yang benar, hanya kelompoknya yang berjuang Islam, hanya kelompoknya berjuang ikut Nabi Muhammad SAW. Pemikiran ini problematik kerana ia melorong ke arah sikap ghuluw dan takfiri.

Orang yang keluar dari kelompoknya dianggap mengkhianati perjuangan Islam dan malah ada yang dilabel munafik.

Ini semua berpunca dari kegagalan memahami bahawa politik Islam itu adalah urusan muamalah yang terdedah kepada pelbagai ijtihad yang perlu dirangkul dan diraikan secara berakhlak dan inklusif bukannya dengan sikap ghuluw yang eksklusif.

BACA JUGA Islam versi Pas ‘berjaya’, Tok Guru dah tak boleh dipimpin lagi