Serpihan besar terdampar di pantai Pekan datang dari mana?
Penduduk sekitar kawasan Pantai Kampung Tanjung, Nenasi, di Pekan digemparkan dengan penemuan serpihan objek disyaki jatuh dari angkasa.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan objek itu daripada pegawai Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) pada jam 5 petang semalam.
Menurutnya, mengikut siasatan awal MOSTI, objek berkenaan disyaki jatuh di laut dan dihanyutkan arus ke pantai itu.
Beliau memaklumkan, panjang serpihan itu adalah 4.26 meter (m) dan lebar 3.64m serta terdapat teritip iaitu sejenis hidupan marin melekat di permukaan objek tersebut.
“Bahagian Penguasa Angkasa, MOSTI, Jabatan Tenaga Atom Malaysia dan Agensi Angkasa Malaysia sudah menyiasat penemuan objek itu.
“Pegawai agensi terbabit juga sudah memindahkan sementara objek itu ke Balai Polis Nenasi,” katanya, dipetik BH.
Zaidi memberitahu hasil siasatan dan ujian dilakukan agensi terbabit mengesahkan serpihan dengan berat dianggarkan mencecah 500 kilogram itu bebas daripada sebarang radiasi.
Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai yang menemui serpihan objek seperti itu diminta menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini media melaporkan, tiga satelit milik China pernah terjatuh di bumi antara 2018 dan 2022.
Serpihan objek tersebut pernah dijumpai di beberapa lokasi termasuk Lautan Pasifik dan Lautan Hindi.
Antaranya ialah satelit Tiangong-1 pada 2018 dan Long March 5B pada 2022.
Serpihan satelit itu pernah ditemui terapung di kawasan perairan Sarawak dan Kalimantan, Indonesia.
BACA JUGA Islam versi Pas ‘berjaya’, Tok Guru dah tak boleh dipimpin lagi