Pemansuhan AUKU? Ini pendirian kerajaan Madani

Menteri Pendidikan Tinggi Senator Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan bahawa kerajaan Madani tidak bercadang untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) secara keseluruhan.

“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ingin memaklumkan bahawa Kerajaan pada masa ini tidak bercadang untuk memansuhkan AUKU secara keseluruhan,” kata beliau dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.

“AUKU merupakan rangka perundangan utama bagi penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti awam serta perkara-perkara berkenaan dengannya.

“Akta ini telah melalui pindaan sebanyak lapan kali melibatkan pelbagai skop seperti penambahbaikan tatakelola sehingga pengurusan aktiviti dan tatatertib pelajar.”

Beliau turut mengulas berkenaan pindaan terkini ke atas AUKU pada tahun 2024.

“Pindaan terkini telah diwartakan pada 27 Jun 2024 melibatkan enam peruntukan utama di bawah Agenda Pemerkasaan Mahasiswa meliputi jawatankuasa tatatertib pelajar, pengurusan kewangan persatuan dan tempoh pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar.

“Pindaan AUKU tersebut merupakan antara langkah progresif yang dilaksanakan kerajaan untuk membugar budaya berorganisasi dan menyegarkan gerakan pelajar sesuai dengan keupayaan mereka untuk mengurus kedewasaan dan kematangan diri.”

Beliau berkata demikian dalam jawapannya kepada Chow Yu Hui (PH-Raub).

BACA JUGA: Mansuh AUKU, perjuangan AMH untuk reformasi sistem pendidikan tinggi