PM sinis tinjau binatang disebut di Parlimen
Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat secara berseloroh berkongsikan pengalaman beliau semalam mengunjungi Zoo Johor iaitu zoo tertua di negara ini.
Menerusi hantaran di media sosial rasminya, Perdana Menteri menyifatkan beliau berdepan cabaran yang berat di Parlimen mutakhir ini yang dipercayai merujuk kepada telatah wakil pembangkang.
“Berat betul cabaran di Parlimen kebelakangan ini, nama binatang kerap benar disebut.
“Jadi, semalam saya masuk zoo jalan-jalan dengan para pengunjung lain, sekadar meninjau binatang-binatang yang disebut,” katanya.
Kenyataan berbaur sindiran itu turut disertakan beberapa ikon binatang, termasuk beruk, ular dan kura-kura selain tanda pagar Tahun Melawat Malaysia.
Untuk rekod, dalam sidang Dewan Rakyat minggu lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang menggunakan anologi beruk dan kera yang berebut sebiji pisang.
Perbandingan itu digunakan Hadi ketika menyentuh isu projek dan perolehan kerajaan yang gagal kerana kewujudan orang tengah mengaut keuntungan.
BACA JUGA Dianggap seperti ahli ‘baharu’, rupanya ini status 3 ADUN Pas ditamatkan keahlian