Syor pilihan raya Datuk Bandar KL: Apa kata Akmal?
Pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur yang dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, semalam dibantah oleh Pemuda UMNO.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata usaha menolak dan menggagalkan rancangan mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur perlu diperjuangkan.
Menurutnya, pendirian itu selari dengan tindakan Pemuda UMNO sebelum ini yang menentang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) serta cadangan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Sebelum ini URA (PSB), selepas itu pilihan raya PBT. Kali ini pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur pula.
“Sebagaimana kita tolak dan gagalkan perancangan URA dan pilihan raya PBT sebelum ini. Begitulah juga kita harus menolak dan menggagalkan rancangan mereka kali ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, berkata pihaknya tidak mahu UMNO lalai dalam berdepan tindakan seperti ini.
Tegas beliau, pihaknya juga mengingatkan perjuangan mesti diperkuat, sekali gus tidak goyah dengan perselisihan yang berlaku akibat perebutan kuasa.
“Mereka tetap mereka, kita jangan lalai. Kita sibuk bergaduh sesama kita kerana kuasa. Mereka bersatu kerana kuasa. Sedarlah wahai saudaraku,” kata Akmal lagi.
Semalam, Yeoh memaklumkan kajian sedang dijalankan bagi proses pelaksanaan pilihan raya PBT di ibu kota termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Yeoh berkata, kajian tersebut dijalankan sejak Disember lalu, selepas Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian dikemukakan Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan pada November 2025 untuk meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, bagi melaksanakan reformasi tadbir urus Kuala Lumpur.
BACA JUGA Murid kena buli mengadu depan Saifuddin, Ketua Polis Kedah