Dakwaan serang Mursyidul Am Pas: Sanusi jawab hanya muhasabah
Tular di media sosial sedutan video ceramah Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa menyerang Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin secara terbuka.
Walau bagaimanapun, Sanusi menjawab, penegasannya itu dibuat dalam konteks program dalaman parti yang bertujuan sebagai sesi muhasabah dan pengukuhan kefahaman ahli terhadap perjuangan Pas.
“Tak ada serangan kepada sesiapa, hanya muhasabah untuk diri, ahli dan pimpinan Pas,” katanya, dipetik FMT.
Menteri Besar Kedah yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat itu berkata, rakaman video tersebut diambil secara terpilih dan tidak menggambarkan keseluruhan konteks perbincangan.
Menurutnya, program yang dikenali sebagai Liqa’ ul-Fikri itu diadakan bagi membincangkan isu semasa serta tarbiah teras perjuangan Pas kepada ahli-ahli parti yang sedang berbalah dengan Bersatu itu.
“(Program) tidak terbuka untuk umum. Kena hadir dengar dari awal sampai habis, baru terpakai (konteks),” kata Sanusi lagi.
Menerusi rakaman video itu, Sanusi menyenaraikan ciri-ciri pihak yang tidak lagi dianggap sebagai ahli jemaah serta bukan sebahagian daripada Pas.
“Siapa yang duduk dalam Pas, buat perkara-perkara yang merugikan Pas, mendatangkan kerosakan kepada Pas, mengambil tindakan-tindakan politik, yang walaupun tidak dikatakan salah oleh perlembagaan (parti), dia bukan ahli jemaah (Pas) … dia bukan sebahagian daripada kita (ahli Pas),” katanya.
BACA JUGA PM sinis tinjau binatang disebut di Parlimen di Zoo Johor