Hampir 15,000 akaun luar pesisir: Ini tawaran SPRM kepada LHDN
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia untuk menjalankan siasatan bersama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung potensi rasuah yang melibatkan akaun kewangan luar pesisir yang tidak diisytiharkan.
Langkah ini selaras dengan gesaan sebuah badan pemantau antirasuah agar agensi kerajaan bekerjasama dalam menyiasat kemungkinan berlakunya rasuah dan pengubahan wang haram.
LHDN baru-baru ini mendedahkan bahawa hampir 15,000 rakyat Malaysia mempunyai akaun luar pesisir yang mengandungi kira-kira RM10 bilion dana.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kerjasama dengan LHDN hanya dapat dilaksanakan sekiranya pihak berkuasa percukaian itu bersedia untuk berkongsi maklumat risikan.
“Kami tidak mengetahui syarikat mana yang berada dalam perhatian LHDN. Kami bersedia untuk menjalankan siasatan bersama berkaitan isu rasuah sekiranya LHDN bersedia untuk berkongsi maklumat dengan kami.”
Beliau berkata, kerjasama antara agensi penguat kuasa amat penting dalam menelusuri aliran dana yang mencurigakan, terutamanya apabila pengelakan cukai boleh bertindih dengan rasuah, salah guna kuasa atau pengubahan wang haram.
Beliau menegaskan bahawa SPRM bersedia menyokong sebarang usaha pelbagai agensi yang bertujuan melindungi hasil negara serta memperkukuh tadbir urus kewangan.
BACA JUGA: Dianggap seperti ahli ‘baharu’, rupanya ini status 3 ADUN Pas ditamatkan keahlian