Kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya: Ini statusnya
Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum memutuskan untuk memulakan urusan kajian semula persempadanan bahagian – bahagian pilihan raya manakala untuk Semenanjung Malaysia tempoh kajian semula persempadanan terdahulu akan berakhir pada 9 Mac.
“Bagi negeri Sabah, tempoh lapan 8 tahun bagi kajian semula persempadanan telah berakhir pada 21 Februari 2025 lepas.
“Pada masa ini, pihak SPR masih belum memutuskan untuk memulakan urusan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya di negeri tersebut memandangkan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 baru sahaja selesai,” kata Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Manakala bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu, tempoh kajian semula persempadanan terdahulu akan berakhir pada 9 Mac 2026.
“Sebarang keputusan bagi pelaksanaan urusan kajian persempadanan semula hanya akan ditentukan oleh pihak SPR selepas tamatnya tempoh tersebut.”
Beliau turut mengesahkan bahawa SPR dalam proses penyediaan syor-syor kajian semula persempadanan bagi negeri Sarawak.
“Dalam hal ini, lat tempoh lapan tahun bagi urusan kajian semula persempadanan Negeri Sarawak telah berakhir pada 21 Ogos 2023.
“Pihak SPR kini berada dalam proses penyediaan syor-syor kajian semula persempadanan bagi negeri tersebut sebelum melaksanakan proses seterusnya sebagaimana yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.
“Kajian ini akan mengambil kira pertambahan 17 kerusi DUN sebagaimana yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 7 Julai 2025 dan dikuatkuasakan pada 8 Ogos 2025.”
Azalina berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang).
Kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya dilaksanakan lapan tahun selepas kajian terakhir berdasarkan Jadual Ketiga Belas dan Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
BACA JUGA: Tiada kawasan baharu dalam PRU16 akan datang