Cubaan jatuhkan kerajaan: Guna media, kelompok Zionis terkemuka – PM

Perdana Menteri hari ini mendedahkan bahawa cubaan untuk menjatuhkan kerajaan didukung oleh warga tempatan dengan memanfaatkan pengaruh media dan institusi antarabangsa termasuk melibatkan kelompok Zionis terkemuka.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, siasatan awal Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga mendapati gerakan itu berpangkalan di luar negara dan mempunyai dana besar bagi merancang strategi untuk mempertikai dan menggugat kerajaan sedia ada.

Beliau mendedahkan, berdasarkan laporan awal, syarikat, badan dan tokoh yang terlibat dalam gerakan itu telah mengadakan enam perjumpaan sepanjang 2025, sama ada di dalam mahupun luar negara.

“Dalam tempoh itu, strategi mereka untuk mendapatkan maklumat dan mempengaruhi melalui meja bulat antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, dan seterusnya menggerakkan international push. Kemudian, maklumkan Bloomberg (media antarabangsa) bagi tindakan selanjutnya.

“Strategi mereka seterusnya ialah menghubungi semua media asing dengan strategi mempertikai usaha kerajaan, khususnya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) serta menggunakan kekuatan dan kontak dengan negara-negara luar dengan tujuan memberi naratif mempertikai kewibawaan negara dan kerajaan,” kata Perdana Menteri.

Hubungan antara ahli Parlimen

Menurutnya, selain gerakan melalui media antarabangsa bagi menerbitkan artikel yang mempertikai kerajaan dan pegawai bank untuk menjejaskan keyakinan terhadap ekonomi negara, terdapat juga fakta bahawa kelompok itu menggunakan hubungan bersama Ahli Parlimen untuk mencipta naratif tertentu.

“Disebut di situ untuk memanfaatkan hubungan antara ahli Parlimen untuk menggugat, menetapkan dan mempengaruhi soalan-soalan yang akan dibangkitkan di Parliamen tentang isu ini.

“Kemudian memuji, cari jalan menggunakan seluruh rangkaian media antarabangsa, khususnya Bloomberg untuk memuji tokoh tertentu yang sedang dalam siasatan, termasuk kes rasuah, serta mendesak supaya individu berkenaan diberikan penghormatan dan pujian,” kata Perdana Menteri lagi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah cubaan untuk menjatuhkan kerajaan itu dipercayai didorong oleh beberapa siri siasatan rasuah berskala besar yang sedang dijalankan oleh SPRM.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) mengenai status siasatan PDRM berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan, ancamannya terhadap demokrasi berparlimen pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

BACA JUGA Hadkan PM 10 tahun: Ketua PKR Batu kecam Ketua Umno Batu