Hadkan PM 10 tahun: Ketua PKR Batu kecam Ketua Umno Batu
Tindakan Ketua Umno Bahagian Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, yang cuba memutarbelitkan fakta dengan mendakwa kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai sokongan kuat di Dewan Rakyat dikesali.
Ketua PKR Cabang Batu, Asheeq Ali Sethi Alivi berkata, hakikatnya jelas, blok Pakatan Harapan memberikan sokongan 100 peratus terhadap Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2026 yang bertujuan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun.
“Semua Ahli Parlimen PH hadir dan mengundi menyokong pindaan yang dibentangkan. Tidak timbul soal perpecahan atau kelemahan dalam kalangan PH,” kata Asheeq yang juga Ketua Angkatan Muda (AMK) Wilayah Persekutuan.
Sebaliknya, katanya, kegagalan memperoleh majoriti dua pertiga berpunca daripada ketidakhadiran dan sikap tidak komited sebahagian Ahli Parlimen Barisan Nasional sendiri.
“Adalah tidak bermaruah untuk pihak yang gagal memastikan kehadiran penuh blok sendiri, kemudian menuding jari dan membina naratif kononnya Kerajaan Madani lemah. Jika benar mahu bercakap tentang kekuatan, nilailah dahulu kekuatan parti sendiri sebelum bercakap tentang kekuatan YAB Perdana Menteri.
“Inilah sikap yang menyebabkan Barisan Nasional semakin ditolak pengundi, khususnya di Wilayah Persekutuan. Rakyat Malaysia sudah lama muak dengan politik persepsi yang tidak bertanggungjawab,” kata Asheeq.
Realitinya, kata beliau, usaha mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri adalah sebahagian daripada agenda reformasi institusi yang telah diperjuangkan sejak era Reformasi.
“Ia bukan soal kekuatan YAB Perdana Menteri, tetapi soal memperkukuh sistem demokrasi negara.
“Saya berdiri teguh mempertahankan kepimpinan YAB Perdana Menteri dan komitmen reformasi yang sedang dilaksanakan.
“Kami tidak akan berdiam diri apabila fitnah politik dan naratif songsang cuba dimainkan untuk mengelirukan rakyat,” katanya.
Bagi beliau, Barisan Nasional harus dipertanggungjawabkan atas kegagalan pindaan Perlembagaan bersejarah ini.
“Justeru, adalah wajar untuk kita mula mempersoalkan sejauh mana keikhlasan Barisan Nasional dalam mendukung agenda reformasi institusi yang telah lama dituntut rakyat.
“Cukup-cukuplah dengan politik murahan seperti ini. Rakyat menilai, dan sejarah membuktikan siapa yang benar-benar berjuang untuk perubahan, dan siapa yang sekadar mencari publisiti,” kata beliau.
Semalam, usaha untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh PM kepada 10 tahun tidak berjaya apabila kekurangan dua undi untuk memenuhi keperluan sokongan dua per tiga ahli Dewan Rakyat.
BACA JUGA 82% mahu Anwar kekal PM