Kecewa, sedih bila tawaran hadkan tempoh PM berkhidmat ditolak pembangkang

Penolakan pembangkang untuk memberikan sokongan kepada usul meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh Perdana Menteri kepada 10 tahun sahaja mengecewakan AMANAH.

“Saya melahirkan rasa amat kecewa dan kesal apabila usul pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri gagal memperoleh majoriti dua pertiga, hanya kekurangan dua undi.

“Lebih mendukacitakan, usul ini bukan sekadar agenda politik mana-mana parti. Ia adalah sebahagian daripada agenda reformasi institusi yang telah dizahirkan sebagai keperluan negara, termasuk dalam titah rasmi oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar semasa pembukaan Parlimen, yang mengalu-alukan usaha memperkukuh reformasi institusi termasuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri.

“Namun di tolak oleh Politik sempit pembangkang,” kata Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar mengulas kegagalan usul untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh khidmat PM kepada 10 tahun sahaja.

Walaupun semua MP Pakatan Harapan menyokong usul ini, ia gagal mencapai dua pertiga sokongan dengan kekurangan dua undi sahaja ketika semua MP pembangkang tidak mengundi.

Kata Mahfuz, apabila reformasi yang disokong dalam titah diraja ini gagal hanya kerana dua undi, persoalan besar timbul:

“Adakah kita benar-benar serius mahu melakukan pembaharuan?

“Atau kita sekadar selesa dengan retorik perubahan tanpa keberanian melaksanakannya?” soal beliau.

Katanya, had tempoh jawatan Perdana Menteri bukan soal individu. Ia bukan serangan kepada sesiapa.

Ia adalah mekanisme demokrasi untuk:

  • Mengelakkan penumpuan kuasa berpanjangan
  • Memastikan peredaran kepimpinan yang sihat
  • Mengukuhkan semak dan imbang
  • Menghalang budaya patronage dan politik berkepentingan

Bagi beliau, menolak reformasi ini dengan alasan remeh atau memilih untuk tidak hadir dalam pengundian bersejarah adalah satu kegagalan moral terhadap amanah rakyat.

“Ahli Parlimen dipilih untuk hadir dan membuat keputusan dalam detik penting negara, bukan untuk berdiam diri ketika masa depan institusi dipertaruhkan,” katanya.

Katanya, sejarah akan mencatat bahawa negara hampir melangkah ke hadapan, tetapi digagalkan oleh sikap politik sempit dan kurangnya komitmen terhadap reformasi.

“Namun saya ingin tegaskan: Perjuangan memperkukuh institusi tidak akan berhenti di sini.
Reformasi bukan pilihan politik .Ia adalah tuntutan masa depan negara.

“Kuasa adalah amanah. Dan amanah yang tidak dihadkan akan akhirnya merosakkan sistem.

“Negara ini memerlukan keberanian untuk berubah ,bukan ketakutan untuk kehilangan pengaruh.

“Kita mungkin tewas dua undi hari ini. Tetapi prinsip reformasi tidak akan pernah kalah,” katanya.

BACA JUGA 82% mahu Anwar kekal PM