Samsuri dilantik sebagai Pengerusi PN bukan calon PM

Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin menegaskan bahawa pelantikan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bukannya calon Perdana Menteri.

Menurutnya, isu calon pemimpin yang akan diangkat sebagai Perdana Menteri jika PN memenangi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) kelak adalah perkara berbeza dengan lantikan pengerusi blok pembangkang itu.

Bahkan, Mahiaddin berkata, soal calon Perdana Menteri dari PN juga belum dibincangkan lagi bersama Pas sebagai parti rakan komponen gabungan tersebut.

“Ini lantikan sebagai Pengerusi PN bukan calon Perdana Menteri. Saya memetik kenyataan Tuan Ibrahim (Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) yang ada sebut bahawa ini untuk Pengerusi PN.

“Kalau hendak bercakap soal calon bagi Perdana Menteri itu isu lain.

“Itu tidak dibincangkan lagi… bila berbangkit mengenainya pernah saya dicalonkan (sebagai Perdana Menteri) pimpinan Pas kata, tidak… kita tidak mahu bincangkan soal itu lagi.

“Jadi, saya fikir pendirian itu masih kekal,” kata Mahiaddin kepada media di Ibu Pejabat Bersatu, kelmarin.

Pada 22 Februari lalu, Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN memutuskan bahawa Samsuri dilantik sebagai Pengerusi PN baharu menggantikan Mahiaddin susulan peletakan jawatannya pada 30 Disember 2025.

Mahiaddin berkata, pihaknya melihat jawatan pengerusi PN perlu ditampilkan daripada pemimpin yang lebih senior.

Kata Ahli Parlimen Pagoh sejak tahun 1978 itu, pendirian Bersatu sendiri juga mahu presiden parti yang diangkat mentadbir PN.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri berkenaan berkata, pihaknya menghormati ketegasan Pas yang mahu mengangkat Samsuri mengetuai PN.

“Pandangan parti sewajarnya tempat itu diisi presiden, tetapi perlembagaan PN tiada syarat itu, ia cuma kata… kalau hendak jadi pengerusi PN kena lebih senior, takkan junior,” kata Mahiaddin lagi.

BACA JUGA Cubaan jatuhkan kerajaan: Guna media, kelompok Zionis terkemuka – PM