DAP kecam undang-undang hukuman mati Israel terhadap rakyat Palestin
DAP mengecam keras kelulusan undang-undang baharu di Parlimen Israel, Knesset, yang membenarkan hukuman mati terhadap rakyat Palestin, dengan menyifatkannya sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi manusia.
Setiausaha Hal Ehwal Antarabangsa DAP, Kasthuri Patto berkata, undang-undang tersebut memberi kuasa kepada kerajaan Israel untuk melaksanakan hukuman mati terhadap rakyat Palestin, khususnya penduduk Tebing Barat yang disabitkan dengan tuduhan berkaitan keganasan.
Menurutnya, lebih membimbangkan apabila pihak Israel dilaporkan telah mula menyediakan infrastruktur bagi pelaksanaan hukuman itu walaupun rang undang-undang tersebut baru sahaja diluluskan, selain tiada pengecualian jelas termasuk melibatkan kanak-kanak dalam tahanan.
“Walaupun hakim boleh memilih untuk memberikan hukuman penjara seumur hidup di bawah keadaan istimewa atau ‘special circumstances’ namun disebabkan takrifan undang-undang yang kurang jelas, akan menyebabkan hukuman mati terus digunakan.
“Hukuman mati di Israel menggunakan kaedah menggantung dan dilaksanakan dalam tempoh 90 hari selepas hukuman dijatuhkan dan rakyat Palestin tiada hak mahupun ruang untuk rayuan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Bidang kuasa
Kasthuri berkata, sistem kehakiman yang berbeza antara warga Israel dan Palestin turut menimbulkan persoalan serius, apabila rakyat Israel dibicarakan di mahkamah sivil manakala rakyat Palestin dihadapkan ke mahkamah tentera.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Persatuan Hak Sivil di Israel akan memfailkan petisyen di mahkamah, dengan hujah bahawa Knesset tidak mempunyai bidang kuasa untuk meluluskan undang-undang tersebut ke atas rakyat Palestin di Tebing Barat.
Beliau turut merujuk laporan pertubuhan hak asasi manusia, B’Tselem, yang menyatakan bahawa sehingga Disember 2025, seramai 9,128 rakyat Palestin ditahan atas alasan “keselamatan negara”, termasuk 1,477 dari Semenanjung Gaza.
“Seramai 351 kanak-kanak Palestin turut ditahan dengan pertuduhan yang palsu dan direka-reka dan 168 daripada mereka ditahan tanpa sebarang pertuduhan atau perbicaraan dengan niat untuk mengekang dan menindas.
“Penjara Israel juga terkenal dengan amalan penyeksaan yang amat teruk dan kanak-kanak juga didapati mempunyai kesan-kesan penderaan langsung membuktikan penderaan kanak-kanak wujud dipenjara Israel,” kata beliau lagi.
Tiada pengampunan
Untuk rekod, Parlimen Israel, Knesset meluluskan undang-undang yang memperuntukkan hukuman mati terhadap tahanan Palestin dengan 62 anggota mengundi menyokong, 48 menentang dan seorang berkecuali.
Mengikut undang-undang baharu negara haram itu, hukuman mati akan dikenakan terhadap sesiapa sahaja yang “dengan sengaja menyebabkan kematian seseorang dalam rangka kerja tindakan yang diklasifikasikan sebagai keganasan.”

Perundangan tersebut turut menetapkan bahawa tiada pengampunan boleh diberikan dalam kes sedemikian, sekali gus menghalang sebarang campur tangan politik atau perundangan pada masa hadapan untuk meringankan atau mengubah hukuman berkenaan.
Undang-undang kontroversi itu memperkenalkan hukuman mati mandatori tanpa memerlukan kelulusan sebulat suara badan kehakiman.
Hukuman gantung sampai mati akan dilaksanakan oleh Perkhidmatan Penjara Israel dalam tempoh ditetapkan yang tidak melebihi 90 hari selepas pengesahan hukuman.
Perundangan itu turut membezakan pelaksanaannya antara dalam Israel dan di Tebing Barat yang diduduki apabila hukuman mati akan menjadi hukuman utama.
Sekatan bersasar
Mengulas lanjut, Kasthuri berkata, DAP menyeru negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengecam tindakan Israel serta mengambil langkah tegas.
Ia termasuk mempertimbangkan sekatan bersasar dan misi pencarian fakta bagi menyiasat pelanggaran hak asasi manusia.
“DAP berdiri bersama parti-parti politik progresif yang lain dalam mengecam penggunaan hukuman mati di Israel dan di seluruh dunia, khususnya sebagai alat politik untuk menakut-nakutkan pembela hak asasi manusia.
“Ia merupakan pelanggaran hak asasi manusia yang serius dan kami menyeru pemimpin dunia yang memperjuangkan nilai sejagat seperti keadilan sosial, kebebasan, kesaksamaan dan keamanan untuk mengenakan sekatan terhadap Israel diatas keganasan terancang ini,” katanya.
Tegas beliau lagi, Israel tidak boleh dan tidak harus dibenarkan untuk terus bersikap buas dan melakukan keganasan tanpa sebarang tindakan di peringkat global.
“Penggunaan hukuman mati terhadap rakyat Palestin adalah seumpama pembunuhan di luar proses kehakiman dan boleh dianggap sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.
“Sudah tiba masanya untuk memastikan Israel dipertanggungjawabkan diatas jenayah perang termasuk sekali mereka dan sistem yang wujud untuk melindungi penjenayah perang,” kata bekas Ahli Parlimen Batu Kawan itu lagi.
BACA JUGA Pemandu mabuk rempuh Amirul Hafiz diheret ke mahkamah pagi ini