Kuota Bumiputera jangan lihat dari sudut kaum
Adun Batu Uban, A Kumaresan mempertahankan keperluan mengekalkan kuota 90 peratus Bumiputera dalam program matrikulasi sebagai langkah merapatkan jurang pendidikan.
Beliau berkata dasar itu tidak wajar dilihat dari sudut kaum semata-mata, sebaliknya sebagai instrumen untuk memastikan keadilan sosial, khususnya kepada pelajar daripada latar belakang kurang berkemampuan.
Kenyataan itu merujuk kepada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pelajar yang memperoleh 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diberikan laluan automatik ke program matrikulasi atau laluan setara.
Menurut Kumaresan, langkah tersebut membuka peluang lebih luas kepada pelajar cemerlang daripada semua kaum untuk melanjutkan pelajaran.
“Ini bermakna pelajar berbakat dari semua latar belakang akan mendapat akses kepada pendidikan tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bantuan kewangan perlu disasarkan berdasarkan gabungan merit akademik dan keperluan ekonomi.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan matlamat merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin dapat dicapai secara lebih berkesan.
Beliau turut berpandangan bahawa pelajar yang mendapat peluang tersebut berpotensi menyumbang kepada pembangunan negara, khususnya dalam bidang penyelidikan, sains dan teknologi.
Menurutnya, pelaburan dalam pendidikan golongan ini akan membantu Malaysia meningkatkan daya saing dan terus berkembang dalam ekonomi berasaskan pengetahuan.