Krisis tenaga global: Rakyat perlu nilai ‘formula’ simplistik Pas

AMANAH menegaskan rakyat perlu menilai kaedah dan ‘formula’ simplistik Pas dalam menangani krisis tenaga dunia yang amat jelas berbahaya kepada kestabilan ekonomi negara.

Setiausaha Agung AMANAH Faiz Fadzil berkata, Pas tidak perlu membawa teori ekonomi yang begitu simplistik lagi tidak realtistik dan tidak progresif.

“Bayangkan bagaimana keadaan negara dan kita semua jika mereka menjadi kerajaan dan berdepan dengan situasi yang sama sekarang.

“Hakikatnya pandangan dan pendekatan Pas menunjukkan bahawa parti itu sama saja tidak boleh diharap, sama ada menjadi pembangkang apatah lagi menjadi kerajaan,” katanya, dipetik Malaysiakini.

Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tergamak menyebut ungkapan “pemimpin yang bebal atau bangang” ketika menyentuh soal pengurusan dan pengagihan harta negara.

Menerusi siri Minda Presiden hari ini, Hadi berkata, apa yang berlaku di hadapan mata pada masa ini bukan kerana hasil negara tidak mencukupi.

Sebaliknya, kata Hadi, ia berpunca daripada “mereka yang bebal, tidak amanah dan jahil terhadap agama, bahkan khianat terhadap harta negara dan berlaku zalim terhadap rakyat.”

Bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat bertaraf Menteri itu turut berkata, mereka terbabit juga tidak berlaku adil kepada semua kerana memberi secara terpilih mengikut penyokong, kroni dan pengampu sahaja.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, Presiden Pas itu tidak layak untuk mempertikaikan kesungguhan kerajaan MADANI yang mempertahankan subsidi kepada rakyat dalam bentuk bahan bakar termasuk nelayan RM1.65 seliter sebanyak 70 juta liter sebulan.

Jelasnya, kenaikan jumlah subsidi Budi Diesel individu sebanyak RM400, Budi Agrikomiditi ditambah daripada RM300 ke RM400 dan insentif pembanjakan pesawah dinaikkan dari RM160 kepada RM300 sehektar membuktikan kata-kata Hadi tidak berpijak di bumi nyata.

“Sepatutnya, Presiden Pas itu lebih peka dengan kedudukan kewangan negara yang perlu menanggung subsidi RM7 bilion sebulan bagi subsidi ini.

“Dia tidak patut menunggang krisis ini untuk kepentingan politik dendam dan kebencian,” tegas Faiz lagi.

BACA JUGA Ini sebabnya PM Anwar tersentuh hati bertemu rakyat yang terkandas di Asia Barat