“Bukan tunggu krisis melarat” – Selangor dipuji bertindak awal lindungi rakyat
Pakej Pengukuhan Daya Tahan Negeri Selangor yang diumumkan kerajaan negeri menerima pujian sebagai langkah proaktif dalam menghadapi cabaran ekonomi global semasa.
Ahli Dewan Negeri Batu Tiga(AMANAH), Danial Al-Rashid, berkata Selangor menunjukkan kepimpinan jelas apabila menjadi antara negeri terawal memperkenalkan pakej menyeluruh bagi membantu rakyat dan memperkukuh ekonomi.
“Selangor telah membuktikan kepimpinan yang jelas apabila tampil dengan pakej yang bukan sahaja memberi kelegaan segera kepada rakyat, malah memperkukuh asas ekonomi negeri dalam jangka masa panjang,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut beliau, langkah itu tepat dalam suasana ketidaktentuan global susulan konflik geopolitik yang memberi kesan kepada rantaian bekalan, inflasi serta kos sara hidup.
Danial berkata inisiatif seperti pengukuhan keterjaminan makanan, bantuan langsung kepada rakyat serta penerokaan sektor baharu termasuk tenaga dan teknologi menunjukkan pendekatan seimbang antara keperluan semasa dan perancangan jangka panjang.
“Apa yang lebih penting, pakej ini memberi mesej jelas bahawa kerajaan negeri tidak hanya bertindak secara reaktif, tetapi bersedia dengan langkah tersusun dan berani,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda Parti AMANAH berkata pendekatan tersebut wajar dijadikan contoh oleh negeri lain dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Menurutnya, langkah itu membuktikan kerajaan negeri mampu bertindak pantas dan strategik dalam memastikan ekonomi domestik kekal berdaya tahan berdepan cabaran global yang semakin kompleks.
BACA JUGA Tidak sekadar cakap, ini langkah kerajaan bantu rakyat lawan kos elektrik
Tidak sekadar cakap, ini langkah kerajaan bantu rakyat lawan kos elektrik