Tidak sekadar cakap, ini langkah kerajaan bantu rakyat lawan kos elektrik
Kerajaan menggalakkan pengguna domestik dan industri beralih kepada tenaga solar sebagai langkah mengurangkan kesan krisis tenaga global yang semakin menekan kos penggunaan elektrik.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata inisiatif itu digerakkan melalui program Solar Accelerated Transition Action Programme (Solar ATAP) yang dilancarkan awal tahun ini.
Menurut kementerian, program berkenaan membolehkan pengguna memasang sistem solar di bumbung bagi menjana tenaga sendiri sekali gus mengurangkan bil elektrik.
“Program ini bertujuan menggalakkan penggunaan tenaga secara kendiri melalui pemasangan solar, seterusnya mengurangkan kos tenaga pengguna,” menurut kenyataan itu.
Permohonan bagi program tersebut boleh dibuat melalui Sustainable Energy Development Authority Malaysia.
Bagi sektor bukan domestik, PETRA memaklumkan pelbagai model pembiayaan turut disediakan termasuk solar leasing dan rent-to-own yang tidak memerlukan kos permulaan tinggi.
Dalam masa sama, pengguna industri berintensiti tinggi tenaga turut disaran mempertimbangkan program Corporate Renewable Energy Supply Scheme bagi mendapatkan bekalan elektrik hijau yang lebih stabil dalam jangka panjang.
Selain itu, kerajaan turut menekankan kepentingan penggunaan tenaga secara cekap, termasuk menetapkan suhu pendingin hawa pada 24°C serta menggunakan peralatan elektrik berlabel cekap tenaga.
PETRA berkata langkah-langkah tersebut penting bagi membantu rakyat mengurangkan beban kos tenaga, di samping memperkukuh keselamatan bekalan dan kemampanan tenaga negara.
“Inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos, malah menjadi pemangkin kepada sistem tenaga negara yang lebih mampan,” menurut kenyataan itu.
BACA JUGA Betul ke semua sekolah di Selangor dapat sarapan percuma?