1 juta tong minyak dah sampai Malaysia, Petronas jelaskan berapa lama bekalan ini boleh bertahan

Bila sebuah kapal tangki minyak sebesar Ocean Thunder berlabuh di Malaysia, ramai mungkin membayangkan bekalan minyak negara terus “selamat” untuk tempoh yang lama.

Hakikatnya, apa yang berlaku selepas kapal itu tiba jauh lebih kompleks dan mungkin tidak seperti yang orang sangka.

Kapal Ocean Thunder yang membawa kira-kira 1 juta tong minyak mentah dari Basrah, Iraq merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Petronas untuk memastikan bekalan bahan api negara kekal stabil dalam situasi global yang tidak menentu.

Petronas menerusi infografik yang dikongsikan di Facebook rasmi, menjelaskan bagaimana 1 juta tong minyak mentah diproses dan dipecahkan kepada pelbagai jenis bahan api.

1 juta tong minyak mentah bersamaan kira-kira 159 juta liter.

Minyak mentah yang tiba tidak boleh terus digunakan. Ia perlu melalui proses penapisan terlebih dahulu.

Lazimnya mengambil masa sekitar enam hari, sebelum bertukar menjadi pelbagai produk seperti diesel, petrol dan bahan api pesawat.

Melalui proses penapisan, sekitar 62 hingga 64 juta liter diesel boleh dihasilkan. Bagi petrol, anggaran pengeluaran adalah antara 45 hingga 48 juta liter, manakala bahan api pesawat pula dianggarkan sekitar 22 hingga 24 juta liter. Selebihnya termasuk LPG dan produk petroleum lain.

Menurut Petronas, walaupun angka itu kelihatan besar, realitinya penggunaan harian Malaysia juga sangat tinggi. 

Secara purata, negara menggunakan sekitar 112 juta liter bahan api setiap hari, dengan petrol dan diesel menjadi penyumbang utama.

Ini bermakna, satu penghantaran sebesar ini sebenarnya hanya mampu menampung keperluan negara untuk tempoh yang agak terhad bukannya berbulan-bulan.

Dalam masa sama, PETRONAS menjelaskan bahawa bekalan bahan api negara tidak bergantung kepada satu sumber sahaja. 

Kapal seperti Ocean Thunder hanyalah sebahagian daripada rangkaian bekalan global yang lebih luas, yang membolehkan bekalan terus mencukupi walaupun berlaku gangguan di laluan kritikal seperti Selat Hormuz.

Pendek kata, ketibaan kapal minyak bukanlah penamat kepada kebimbangan bekalan, sebaliknya ia hanyalah satu langkah memastikan setiap kenderaan di jalan raya terus boleh bergerak seperti biasa.

BACA JUGA Netizen minta muslimat Pas tengok dulu semua video sebelum pertahan Tiktoker biadab