DUN Kedah tak bincang bidang kuasa negeri, dok sibuk kuasa Pusat

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dikritik kerana gagal fokus kepada isu di bawah bidang kuasa negeri, sebaliknya terlalu tertumpu kepada perkara berkaitan kerajaan Persekutuan.

Bekas Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Kedah, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hadzir Md Zain berpendapat ucapan pemimpin kerajaan negeri dalam sidang DUN baru-baru ini masih bersifat retorik dan tidak memperincikan tindakan khusus yang diambil untuk membantu rakyat.

Menurutnya, rakyat Kedah kini tertanya-tanya apakah hasil sebenar sidang DUN ketika rakyat Kedah berdepan kesan konflik global, termasuk peperangan yang berlaku di Asia Barat.

“Kita sebagai rakyat Kedah tertanya-tanya, apakah hasil sidang DUN yang berlaku ketika rakyat terkesan dengan peperangan yang berlaku di Iran,” katanya menerusi TikTok beliau.

Beliau berkata, sidang DUN sepatutnya menjadi platform untuk merangka inisiatif baharu bagi menangani cabaran semasa, namun perkara itu dilihat tidak berlaku.

“Kita mengharapkan suatu inisitif yang baru, lahir daripada perbincangan dalam DUN.

“Namun begitu, saya sebagai rakyat Kedah rasa kecewa kerana tidak nampak satu inisiatif kerajaan negeri untuk membantu rakyat,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Hadzir menegaskan, kerajaan negeri seharusnya memberi tumpuan kepada sektor-sektor di bawah bidang kuasanya seperti pertanian, perikanan dan veterinar yang boleh memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.

“Malah, di bawah Jadual Bersama, kerajaan negeri juga boleh mengambil inisiatif dalam bidang pendidikan dan kesihatan dengan memperkenalkan insentif tertentu, seperti yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Selangor,” kata beliau lagi.

BACA JUGA Kongres khas DAP: Apa kata Anthony Loke?