Kongres khas DAP: Apa kata Anthony Loke?

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata Kongres khas DAP yang dijadualkan pada 12 Julai depan amat penting bagi membolehkan ahli membuat refleksi mendalam demi memastikan kelangsungan serta keupayaan parti untuk terus mara ke hadapan.

Menurutnya, ahli DAP diminta hadir untuk menyumbang buah fikiran, membahas serta membuat keputusan terbaik.

“Ini satu titik yang sangat utama dan penting bagi perjuangan parti untuk kita membuat refleksi dan membincangkan hala tuju supaya memastikan parti terus maju ke hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ulangtahun DAP ke-60 di Pulau Pinang, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, Kerajaan Persekutuan kini bukan sahaja perlu menangani isu dalam negara, malah turut berdepan cabaran global susulan konflik di Asia Barat, yang menuntut semua pihak dalam kerajaan, termasuk DAP, untuk bersama-sama menghadapinya.

“Kita tahu ahli parti juga berdepan cabaran yang besar tetapi kita mesti berani untuk mengatasi semua cabaran dan semua masalah, yang jika kita ingat mula-mula dulu ketika kita langsung tiada kuasa, tiada sumber, tiada kuasa apa-apa, kita masih mampu bertahan,” kata Loke.

Dalam masa sama, beliau menyeru perpaduan dalam parti dan usaha lebih besar untuk memupuk pemimpin muda dengan menggesa golongan veteran membimbing generasi seterusnya.

“Kita perlu membimbing dan memberi ruang kepada anak muda untuk meneruskan perjuangan kerana tanpa generasi pelapis, parti tidak akan mempunyai masa depan.

“Sempena ulang tahun ke-60 ia bukan pengakhiran sebaliknya permulaan untuk kita bawa semangat ini ke seluruh negara,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Reben Merah dilancar, Wanita AMANAH gesa dunia bangkit