Minyak masih ada, tapi tak sampai: Ini yang sedang ganggu dunia sekarang

Oleh JAZLI IZZUDIN

Apa yang sedang berlaku dalam pasaran minyak global sekarang bukan sekadar gangguan biasa.

Buat masa ini, kita mungkin sedang menyaksikan antara gangguan bekalan tenaga terbesar dalam sejarah moden.

Sejak konflik bermula pada 28 Februari, lebih daripada 500 juta tong minyak mentah dan kondensat telah terkeluar dari pasaran global.

Dalam tempoh sekitar 50 hari, itu bersamaan kira-kira 10 juta tong sehari yang tak sampai ke sistem.

Kalau diterjemahkan kepada nilai, jumlah ini dianggarkan sekitar $50 bilion — satu angka yang cukup besar untuk tempoh yang begitu singkat.

Untuk bayangkan skala dia dengan lebih jelas, jumlah minyak yang hilang ini hampir menyamai keperluan bahan api yang digunakan untuk menjalankan industri perkapalan antarabangsa selama kira-kira empat bulan.

Ini bukan sekadar angka teori, tetapi tenaga sebenar yang sepatutnya menggerakkan sebahagian besar aktiviti ekonomi dunia.

Jatuh mendadak

Lihat pada data pergerakan kapal, perubahan itu memang ketara. Sebelum konflik, aliran kapal minyak masih dalam keadaan stabil seperti biasa.

Namun, sejurus selepas konflik bermula, jumlah kapal yang bergerak jatuh mendadak, sampai hampir kosong dalam tempoh tertentu.

Ini menunjukkan bukan sahaja pengeluaran yang terjejas, tetapi penghantaran minyak itu sendiri benar-benar tersekat.

Apa yang menjadikan situasi ini lebih mencabar, permintaan global sebenarnya masih kekal.

Dunia masih memerlukan minyak pada kadar yang sama untuk pengangkutan, industri, penerbangan dan logistik.

Bezanya sekarang, bekalan tidak sampai seperti biasa. Di sinilah tekanan mula terkumpul dalam sistem.

Namun, kesan ini tidak semestinya terus nampak pada harga minyak hari yang sama. Pasaran minyak bergerak berdasarkan jangkaan masa depan, kontrak hadapan dan paras simpanan sedia ada.

Sebab itu, kadang harga nampak seperti tenang, walaupun gangguan besar sedang berlaku di belakang.

Dalam masa sama, walaupun ada perkembangan terbaru yang menunjukkan laluan sudah kembali dibuka, itu belum cukup untuk mengatakan keadaan sudah pulih sepenuhnya.

Banyak kapal masih berhati-hati untuk masuk semula, kos insurans melonjak, dan jadual penghantaran sudah pun terganggu. Laluan mungkin terbuka, tetapi aliran sebenar belum kembali normal.

Kesan daripada gangguan ini juga tidak terhenti pada minyak semata-mata. Apaila bekalan tenaga terganggu, ia mula menjalar ke kos pengangkutan, kos pengeluaran dan margin syarikat. Dari situ, tekanan boleh sampai kepada harga barang dalam ekonomi global.

Situasi ini jadi lebih kompleks kerana ia bukan berpunca daripada satu faktor sahaja.

Ia adalah gabungan konflik geopolitik, gangguan logistik fizikal dan sentimen pasaran yang berlaku serentak dalam tempoh yang singkat.

Kesimpulannya, dunia sekarang bukan kekurangan permintaan tenaga. Dunia sedang berdepan dengan masalah bekalan yang tidak sampai ke pasaran seperti biasa.

Selagi aliran ini belum benar-benar stabil, kesannya akan terus dirasai, bukan sahaja dalam pasaran minyak, tetapi dalam keseluruhan ekonomi global untuk satu tempoh yang akan datang.

BACA JUGA Reben Merah dilancar, Wanita AMANAH gesa dunia bangkit