Rezeki besar buat Kelantan, tambahan RM8 bilion bukan sikit-sikit, RM20 juta untuk rakyat miskin
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas penambahan peruntukan pembangunan untuk rakyat Kelantan yang kini mencecah RM8 bilion.
Beliau berkata, tambahan peruntukan tersebut merupakan satu suntikan besar yang diyakini mampu mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri itu.
Menurutnya, selain peruntukan utama tersebut, kerajaan turut menyalurkan tambahan RM20 juta khusus bagi membantu pembangunan golongan miskin di Kelantan.
“Terima Kasih PMX tambah peruntukan pembangunan untuk rakyat Kelantan kepada RM8 bilion.
“Juga tambahan RM20 juta untuk pembangunan rakyat miskin. Syukur Alhamdulillah,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan Kerajaan Persekutuan menambah peruntukan pembangunan untuk Kelantan daripada RM3 bilion kepada RM8 bilion sebagai bukti kecaknaan kerajaan terhadap pembangunan negeri itu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesemua peruntukan yang diluluskan akan disampaikan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana masalah yang ingin diselesaikan itu dianggap masalah negara bukan di peringkat negeri semata-mata.
Kerajaan turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta bagi rakyat termiskin di Kelantan yang mana akan dibantu tanpa mengira kefahaman politik.
BACA JUGA 85 peratus rakyat Malaysia dapat subsidi diesel, tapi yang 15 peratus pula diperbesarkan