RM5 bilion jaminan, RM15 bilion suntikan: KUSKOP sambut baik pengumuman PM
Kerajaan memperkenalkan langkah menyeluruh bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berdepan tekanan kos susulan krisis tenaga global, termasuk jaminan pembiayaan tambahan serta kelonggaran pelaksanaan dasar baharu.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disifatkan tepat pada masanya dalam memastikan kelangsungan perniagaan dan perlindungan pekerjaan rakyat.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, antara inisiatif utama yang diumumkan ialah penyediaan jaminan pembiayaan tambahan sebanyak RM5 bilion melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), selain kelonggaran pelaksanaan e-invois serta pengecualian cukai bersasar bagi meringankan beban operasi PMKS.
Dalam masa sama, KUSKOP, katanya, turut memperkenalkan inisiatif PowerUp 10K dengan komitmen menyediakan sehingga RM15 bilion pembiayaan ke dalam pasaran, menyasarkan peningkatan skala sebanyak 10,000 syarikat PMKS selaras dengan semangat Kerajaan MADANI dalam memperkasa ekonomi rakyat.
“Usaha ini bertujuan membantu PMKS bukan sahaja kekal berdaya tahan, malah terus berkembang dan merebut peluang perniagaan dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global serta peningkatan kos operasi,” ujarnya menerusi kenyataan hari ini.
Selain itu, Steven berkata, KUSKOP akan terus memperkukuh usaha melalui pendekatan ABCD iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran.
Dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan, tambah beliau, KUSKOP akan terus bekerjasama rapat dengan pelbagai pemegang taruh.
Ia termasuk pemain industri dan institusi kewangan supaya setiap bentuk sokongan dapat disampaikan secara pantas, berkesan serta memberi impak langsung kepada usahawan di lapangan.
BACA JUGA Pondok masuk era AI: PM komited laksana Transformasi Digital Institusi Pendidikan Islam