Antara dosa peribadi dan dosa negara
Oleh LIYANA MARZUKI
Saya sentiasa percaya bahawa apabila segala-galanya gagal dalam politik dan kita tidak lagi tahu siapa yang boleh dipercayai, pandanglah ke atas — ke arah institusi istana.
Sembilan Raja-Raja Melayu kita merupakan pengimbang kuasa dalam negara.
Minggu ini sahaja Raja-Raja kita menegur dua orang Menteri Besar muda. Parti mereka ada yang namakan mereka ini bakal jadi PM Malaysia.
Pada pandangan saya, kedua-duanya masih belum cukup bersedia. Raja-Raja juga seolah-olah memberi isyarat kepada kita. Bagi yang peka dan berfikir, mesej itu dapat difahami.
Makanya, harus selalu kita rujuk Raja kita. Mereka lebih atas dari dunia politik negara.
Pentaksub politik dangkal selalu mainkan naratif “Raja pun tak boleh pakai. Mereka pun nak sakau, ada yang tersasar jauh dari Islam.”
Saya lihat yang membantai Raja itu pun, geng-geng politik, kaya hasil makan projek kerajaan, jadi proksi pemimpin.
Hidup pemimpin politik itu pun tidak seIslamik mana. Ada cucunya penyokong LGBT, ada juga yang peluk anjing, Krismas pun disambut.
Walaupun jarang diperkatakan secara terbuka, ada bekas Perdana Menteri, menteri dan pemimpin politik kita yang turut menikmati gaya hidup mewah, lengkap dengan jamuan makan serta minuman beralkohol.
Gaya hidup ini sebenarnya tidak jauh berbeza daripada apa yang sering mereka kritik terhadap Raja-Raja.
Belum lagi cerita, keluarga mereka yang dah kaya raya tujuh keturunan. Apa bisnes pun tidak sepenuhnya didedahkan. Banyak yang park di luar negara.
Dah macam keluarga raja dulukala. Lebih kurang sama.
Pada saya, dalam dunia politik dan kuasa, susah mencari pemimpin yang tiada dosa. Majoriti mesti ada. Tapi dosa jenis yang mana?
Ada pemimpin berserban, tak minum arak dan berjudi, tapi suka sebar fitnah dan mengeji.
Pakej perangai gila seksual sekali. Adakah dia ini lebih baik dari yang minum arak tadi? Sepatutnya, dua-dua pun kita kira tak baik.
Susah nak jumpa pemimpin baik seperti Almarhum Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Lah.
Kalau ada pun macam Pak Lah tak lama bertahan. Akan dibaham.
Dalam memilih esser evil atau kurang mudarat, kita akan menilai semuanya.
Perlu nilai dosa peribadi vs dosa negara.
Yang mana lebih mudaratnya?
Benteng terakhir
Dalam konteks kekuasaan, dan dunia politik kita sekarang yang makin celaru, harapan kita perlu sandarkan kepada Raja-Raja Melayu.
Mereka masih benteng terakhir kita.
Jangan termakan dakyah politik dangkal, nak buang Raja untuk Ayatollah berkuasa atau nak kita ada Presiden tunggal seperti Singapura.
Dalam politik, kita tidak memilih yang paling suci. Kita memilih siapa yang paling kurang merosakkan negara.
Dan hari ini, dalam kekalutan politik, benteng itu masih berdiri di istana.
Benarlah prinsip Rukun Negara. Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Dan semestinya bukan kepada parti atau pemimpin berhala.
Daulat Tuanku!
BACA JUGA Reben Merah dilancar, Wanita AMANAH gesa dunia bangkit