KKM : 143 petugas kesihatan naik pangkat
Seramai 143 petugas kesihatan menerima pengiktirafan kerjaya melibatkan pemangkuan dan kenaikan pangkat ke Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA), dalam langkah terbaharu Kementerian Kesihatan Malaysia memperkukuh kepimpinan sektor kesihatan negara.
Daripada jumlah itu, 105 pegawai diberikan pemangkuan, manakala 38 lagi dinaikkan pangkat ke jawatan JUSA, berdasarkan prestasi, dedikasi serta sumbangan mereka dalam perkhidmatan kesihatan awam.
KKM dalam kenyataan memaklumkan, urusan kenaikan ini melibatkan pelbagai skim perkhidmatan dan dilaksanakan secara berfasa mengikut kekosongan jawatan serta keperluan semasa.
“Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen kementerian dalam menyediakan laluan kerjaya yang telus dan berasaskan merit,” menurut kenyataan itu.
Langkah berkenaan dilihat sebagai sebahagian usaha berterusan kerajaan untuk memastikan sistem kesihatan negara kekal cekap, di samping memberi motivasi kepada petugas barisan hadapan yang menjadi tunjang perkhidmatan kepada rakyat.
Selain memperkukuh struktur kepimpinan, KKM turut menegaskan komitmen untuk terus menambah baik aspek kebajikan serta pembangunan profesional warga kerjanya.
“Kementerian akan terus memperhalusi inisiatif sedia ada agar kebajikan dan pembangunan kerjaya petugas kesihatan sentiasa diberi perhatian sewajarnya,” jelas kenyataan itu lagi.
Pengumuman ini hadir ketika sektor kesihatan awam terus berdepan tekanan permintaan perkhidmatan, menjadikan pengukuhan kepimpinan dalaman sebagai antara keutamaan utama kerajaan.
BACA JUGA Walau dimaaf, kerosakan fitnah berangkai dan mendalam