Walau dimaaf, kerosakan fitnah berangkai dan mendalam
Majlis Ulama Umno Malaysia menegaskan bahawa fitnah bukan sekadar kesilapan teknikal, sebaliknya satu perbuatan serius yang boleh meruntuhkan hubungan sesama masyarakat serta mencetuskan kekeliruan awam.
Anggota tertingginya, Ahmad Izwan Hamzah, berkata insiden melibatkan tuduhan terhadap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak.
Menurut beliau, dalam era penyebaran maklumat pantas, sempadan antara fakta dan fitnah mudah menjadi kabur sekiranya tidak disertai dengan amalan tabayyun atau semakan kebenaran.
“Fitnah bukan sekadar kesilapan teknikal; ia adalah barah yang boleh meruntuhkan ukhuwah, mencalarkan reputasi individu dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dibuat susulan permohonan maaf oleh Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Zulkifli Ismail, terhadap Fadhlina selepas mendakwa menteri berkenaan melarang amalan keagamaan ketika Minggu Solidariti Palestin pada 2023.
Permohonan maaf tersebut turut disertai lidah rasmi PAS, Harakah, serta syarikat Galeri Media Serbanika Sdn Bhd dalam prosiding di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Dalam prosiding itu, semua pihak bersetuju menarik balik sepenuhnya kenyataan yang mencetuskan salah faham dan menjejaskan reputasi Fadhlina, selain diarahkan membayar kos sebanyak RM15,000.
Ahmad Izwan menegaskan bahawa penyebaran maklumat tidak sahih oleh pemimpin, sama ada disengajakan atau tidak, merupakan satu pencabulan terhadap amanah rakyat.
“Apabila seorang pemimpin bertindak sebagai lidah fitnah, kerosakan yang timbul adalah berangkai dan mendalam,” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan bahawa larangan berdusta telah ditegaskan dalam ajaran Islam, dan setiap individu, khususnya pemimpin, perlu bertanggungjawab dalam memastikan maklumat yang disampaikan adalah tepat dan sahih.
BACA JUGA Penyokong tegar pembangkang label Pas parti kaki fitnah