200 juta liter diesel ‘Malaysia hantar ke Australia’? Fahmi: Itu bukan minyak kita

 Kerajaan menafikan dakwaan bahawa Malaysia menghantar kira-kira 200 juta liter diesel ke Australia, sambil menegaskan bahan api tersebut bukan milik negara seperti yang dilaporkan sebuah agensi berita luar.

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata semakan dengan pelbagai pihak termasuk Pusat Arahan Komunikasi di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mengesahkan diesel berkenaan tidak melibatkan Malaysia.

“Semakan mendapati diesel tersebut bukan milik Malaysia. Situasi ini sama seperti kes penghantaran diesel ke Filipina sebelum ini,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri.

Beliau menjelaskan kekeliruan timbul apabila terdapat laporan agensi berita Australia yang menyebut penghantaran diesel itu melibatkan beberapa negara termasuk Malaysia dan Brunei.

Menurutnya, Australia sebenarnya mempunyai kontrak perdagangan dengan syarikat tenaga antarabangsa British Petroleum (BP), yang memiliki kemudahan penyimpanan di perairan Malaysia, manakala kapal yang membawa diesel itu hanya berlepas dari lokasi tersebut.

Penjelasan itu sekali gus menepis dakwaan segelintir pihak yang mendakwa kerajaan menjual bekalan minyak ke luar negara ketika dunia berdepan ketidaktentuan bekalan tenaga.

Dalam masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan bahawa Malaysia sentiasa mengutamakan keperluan bahan api domestik sebelum mempertimbangkan sebarang eksport lebihan.

Beliau berkata perkara itu turut dibincangkan bersama Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, dengan kedua-dua negara memahami keperluan tenaga masing-masing dalam situasi global yang mencabar.

BACA JUGA Pempengaruh konten agama direman, disyaki seleweng dana NGO RM12.3 juta