Ini duit rakyat, tak boleh lewat : ‘Bang Mat’ pantau projek agro

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan semua projek pembangunan pertanian mesti disiapkan mengikut jadual, sambil memberi amaran tiada ruang untuk kelewatan melibatkan peruntukan awam.

Dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian (MTPK) yang dipengerusikannya petang semalam, Mohamad atau lebih dikenali sebagai ‘Bang Mat’ berkata fokus utama beliau adalah memastikan setiap projek di bawah kementerian berjalan lancar dan memberi impak sebenar kepada rakyat.

“Ini duit rakyat. Setiap sen adalah amanah, jadi ia wajib diurus dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa peruntukan yang disalurkan perlu sampai ke golongan sasaran termasuk petani, penternak, pesawah dan nelayan, yang disifatkannya sebagai “wira makanan” negara.

Menurutnya, kejayaan kumpulan ini akan memberi kesan langsung kepada keseluruhan rakyat, khususnya dalam memastikan bekalan makanan negara kekal stabil dalam suasana ketidaktentuan global.

Sehubungan itu, Mohamad berkata beliau akan terus memantau secara rapi pelaksanaan semua projek serta prestasi pegawai terlibat bagi memastikan tiada kelewatan atau ketirisan berlaku.

“Saya tidak mahu ada projek tergendala. Matlamat akhirnya adalah kesejahteraan rakyat,” tegasnya.

Langkah itu dilihat selari dengan usaha kerajaan memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara, khususnya dalam mendepani cabaran krisis bekalan global serta peningkatan kos pengeluaran.

BACA JUGA Dulu jaga negara, kini veteran ATM sertai projek agro moden