Aset RM4 juta milik pendakwah disita, isteri turut bersubahat

Pelbagai aset berjumlah kira-kira RM4 juta dipercayai milik seorang pendakwah bebas disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), susulan siasatan berkaitan penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) miliknya.

Lapor BH memetik sumber, sitaan yang dilakukan hari ini melibatkan pelbagai mata wang asing dan tempatan termasuk wang tunai berjumlah Riyal 7,325, RM152,155 serta SGD27,134 (dolar Singapura).

“Hari ini SPRM Negeri Sembilan telah melakukan sitaan terbaharu dan selain ada pertambahan sitaan untuk duit mata wang asing dan tempatan, kami turut menyita pelbagai perhiasan emas bernilai kira-kira RM2 juta.

“Sehubungan itu, nilai sitaan terbaharu semalam dan hari ini berjumlah kira-kira RM4 juta,” katanya, dipetik BH.

Menurutnya, siasatan awal mendapati dua ahli jawatankuasa yang disyaki bersubahat dengan pendakwah itu ialah isterinya yang juga bendahari NGO berkenaan serta seorang lagi individu yang merupakan setiausaha.

Jelas sumber, siasatan turut mendapati dana yang dipindahkan ke akaun bank milik pendakwah yang juga pempengaruh agama terkenal itu serta lapan akaun bank syarikat miliknya dilakukan tanpa pengetahuan ahli jawatankuasa lain.

Lapan syarikat yang terlibat merupakan syarikat percetakan, penerbitan, jualan buku, pemasaran, penjualan produk, pengurusan sumber manusia dan pengurusan duta produk.

Semalam, SPRM Negeri Sembilan menahan reman pendakwah terbabit selama lima hari kerana disyaki menyalah guna kuasa dan menyeleweng dana NGO berjumlah kira-kira RM12.3 juta untuk kepentingan peribadi.

BACA JUGA Ini sebabnya Bang Mat ke Vietnam