Ini sebabnya Bang Mat ke Vietnam

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menghadiri sesi pra-mesyuarat di Vietnam dalam rangka lawatan rasmi yang bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara Malaysia dan negara itu, khususnya dalam sektor pertanian dan bekalan makanan.

Beliau berkata, hubungan Malaysia dan Vietnam sememangnya telah lama terjalin kukuh, malah Vietnam merupakan antara rakan dagang utama Malaysia dalam rantau ASEAN.

Justeru, Mohamad yang mesra dikenal sebagai Bang Mat berkata, kerjasama sedia ada perlu terus diperkasakan demi kepentingan bersama.

Dalam masa sama, beliau menegaskan dunia kini berdepan ketidaktentuan rantaian bekalan global yang memberi kesan langsung kepada harga serta kestabilan makanan.

“Sebab itu, lawatan ini turut memberi fokus kepada usaha memastikan sekuriti makanan terus terjamin melalui kerjasama yang lebih rapat, perkongsian teknologi, serta pendekatan pertanian yang lebih moden dan mampan,” ujarnya menerusi perkongsian di media sosial rasmi beliau hari ini.

Tambahnya, kehadiran beliau kali ini merupakan langkah penting untuk memastikan hubungan dua hala terus diperkukuh, di samping menjamin bekalan makanan negara kekal terpelihara walaupun berdepan pelbagai cabaran global.

Untuk rekod, produk pertanian Vietnam seperti kopi, buah-buahan, sayur-sayuran, makanan dan hasil laut adalah antara komponen eksport negara itu ke Malaysia yang menunjukkan pertumbuhan ketara.

Dianggarkan, sektor agro-makanan menyumbang sekitar lima hingga 15 peratus, bersamaan RM4 bilion hingga RM12 bilion setahun, daripada jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Vietnam.

BACA JUGA Malaysia diiktiraf penyatu dunia, PM Anwar terima delegasi ulama antarabangsa