Aurat tak boleh dikompromi, kerajaan akan kaji isu pakaian lokap wanita

Kerajaan memberi perhatian berhubung isu pakaian lokap untuk wanita kerana hal membabitkan aurat tidak boleh dikompromi kerana sebahagian daripada tuntutan agama.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, isu tersebut akan dibincangkan dengan kementerian berkaitan bagi memastikan aurat kaum wanita Muslim terpelihara.

“Berkenaan aurat, kita tak ada kompromi, itu hukum, wajib menutup aurat.

“Kita minta semua pihak, tidak semestinya pihak yang berkaitan saja, semua pihak dalam apa keadaan sekalipun.

“Bagaimana kita rasa terdesak sekalipun, aurat atau syariat Allah perlu kita pertahankan, perlu kita tegakkan.

“Kita akan mengadakan perbincangan untuk buat penambahbaikan,” katanya.

Marhamah berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Little Hajj by Little Caliph di Masjid Muhammadi, Kota Bharu hari ini.

Sebelum ini, pakaian lokap dipakai seorang guru ketika proses penahanan reman 13 April lalu berkait kes rempuhan pelajar mencetuskan pertikaian banyak pihak kerana tidak menutup sepenuhnya aurat.

Susulan itu, timbul saranan agar pakaian lokap untuk wanita ditambah baik.

BACA JUGA PMKS dapat ‘perisai ekonomi’ RM5 bilion lagi?