Walau tanpa uniform, sekolah tetap ‘jalan’, kerajaan hulur RM300 kepada 454 murid terjejas kebakaran

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, bantuan kewangan sebanyak RM300 akan diberikan kepada setiap kanak-kanak warganegara Malaysia yang terkesan akibat kebakaran besar di Kampung Bahagia, Sandakan.

Menurutnya, bantuan itu dikreditkan terus ke akaun sekolah sebagai persediaan awal memulakan sesi persekolahan.

Dalam masa sama, murid turut diberi kelonggaran untuk hadir ke sekolah walaupun tanpa pakaian seragam, bagi memastikan tiada alasan untuk tercicir daripada pendidikan.

“Semalam, kita telah mengumumkan dua inisiatif penting.

“Pertama, bantuan RM300 kepada semua kanak-kanak warganegara Malaysia yang terjejas sebagai bantuan awal untuk memulakan persekolahan.

“Kedua, mereka digalakkan hadir ke sekolah walaupun tanpa pakaian seragam, bagi memastikan tiada halangan untuk bersekolah.

“Setakat ini, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) memastikan mereka terus hadir ke sekolah tanpa sebarang masala”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Perpustakaan Kuala Lumpur, hari ini.

Meurutnya, kementerian melalui Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri juga memantau kehadiran pelajar serta memastikan mereka terus bersekolah seperti biasa.

Dalam pada itu, kementerian turut meneliti keperluan pengangkutan khususnya bagi pelajar yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara yang jauh dari sekolah.

Bantuan bernilai RM300 tersebut diberikan kepada 454 murid warganegara Malaysia daripada 12 sekolah yang terjejas, melalui KPM selaras dengan komitmen kerajaan menjamin kesinambungan pendidikan dalam apa jua situasi.

Pada 19 April lalu, kebakaran besar di perkampungan atas air itu memusnahkan kira-kira 1,000 rumah dan melibatkan kawasan seluas lebih empat hektar.

BACA JUGA Aurat tak boleh dikompromi, kerajaan akan kaji isu pakaian lokap wanita